Monday, December 28, 2009

Ibu,kau di sini rupanya... (siri 7)




Selama ini Mat Yong hanya tahu berpencak, mencari syariat yang zahir tanpa mempedulikan yang batin, yang tersembunyi. Kini beliau sudah mula memahami selain bergerak berpencak dan berpetua, ‘rasa’ merupakan suatu yang amat penting dalam mempelajari dan menguasai ilmu persilatan. Kini Mat Yong merasakan lebih berkeyakinan dan bersedia untuk meneruskan perjalanan  mencari ibunya yang telah lama menghilang.


“Banyak lagi yang perlu kamu belajar Mat Yong. Hari ini kamu umpama bayi, baru bertatih,berjalanlah dengan baik, teguhkan dulu kakimu yang lemah itu sebelum melangkah lebih jauh” ujar Shahar seolah-olah dapat membaca fikiran Mat Yong.


Mat Yong hanya tersenyum dan mengiakan sahaja kata-kata gurunya itu. Setelah apa yang dilaluinya kini, memang benar seperti yang diberitahu oleh Shahar itu.


Mat Yong merasakan seolah-olah tubuhnya seperti burung yang meronta-meronta ingin dibebaskan dari sangkar raga dan terbang bebas ke angkasa menghirup udara segar dan merasai kelazatan dan  menghayati kecantikan alam Mulki ini dari langit luas ciptaan Yang Maha Luas.


Lihat dari mata burung, atau lihat dari dalam tempurung’..


 Sedikit terkejut Shahar apabila mendengar Mat Yong menyanyikan rangkap lagu tersebut lalu tanpa disangka Mat Yong, disambungnya lagu itu dengan penuh keriangan umpama orang yang sedang mabuk todi. Pelik sungguh Mat Yong melihat gurunya itu.





Yang mana satu engkau pilih…


Dalam kalut ada peraturan….


Peraturan cipta kekalutan…


Di mana pula kau berdiri..





‘Suara macam gendang bocor aje’ getus Mat Yong dalam hatinya. Nak ketawa, nanti tak pasal-pasal lebam biji mata, fikirnya. Shahar menyanyikan lagu tersebut sambil terus berlalu meninggalkan Mat Yong menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sejurus kemudian Mat Yong tergelak sendirian.


Memang itulah perangai Shahar, kadang-kadang pelik semacam saja. Nak dikata gila waras. Nak dikata waras, gila pun ada. Landak Adan pun kadang-kadang kelihatan begitu juga. Tapi tahan sedikit berbanding Shahar. Wak Izwil pula suka buat-buat gila. ‘Gila aku dibuatnya!’ Mat Yong mengomel sendirian sambil tersengih seperti kera mendapat bunga, memikirkan telatah kekandanya lantas berlalu meninggalkan gelanggang setelah bersalam Belangkas dengan Pak Azmi dan lain-lain.


Dalam perjalanan pulang, Mat Yong telah memejam mata sambil berjalan menuju ke rumahnya bertujuan menguji ilmu Layang Tubuh tersebut. Pokok, ayam,itik, rumah orang, awek cantik, makcik jiran belakang rumahnya habis semua dielaknya walaupun dengan mata tertutup. Tiba-tiba….. (to be continued..huhuhu)

Saturday, December 26, 2009

Makanlah....




Ibu : Anak-anakku,makanlah makanan yang telah ibu sediakan itu.


Anak 1 : Baiklah ibu, anak akan makan sekarang juga! Anak patuh pada kehendak ibu.. (makan sambil meninggalkan segala kerjanya)


Anak 2 : Baiklah ibu... Anak akan makan sambil menyiapkan tugasan yang ibu berikan..


Anak 3 : Nanti dulu ibu, anak ada tugas yang perlu diselesaikan seperti yang ibu suruh.. ibu simpan la dulu untuk anak ye,anak janji nanti anak akan makan setelah tugas selesai..


Anak 4 : Tak mau makan lagi la bu. Anak nak keluar bermain-main dulu... Anak tak bersedia nak makan lagi.


Anak 5 : (Langsung tak dengar ibunya panggil)


Anak 6 : Anak tak nak makan masakan ibu


Ibu      : Makanlah segera anakku sekalian. Ibu telah masakkan makanan yang lazat-lazat dan masakan kegemaran kamu masing-masing. Makanlah dulu..Rasalah dulu.. Makanlah dengan cermat dan diam.. (si ibu terus memanggil-manggil anaknya untuk makan..)


Namun si anak tetap memberikan jawapan yang sama...

Makanlah... Makanan sudah disediakan....

Tuesday, December 22, 2009

Ibu, kau di sini rupanya.......... (siri 6)

Dirasakan jasadnya seolah-seolah terlepas dari kawalannya. Hilang kekuatan jasmani berganti kekuatan rohani. Kini hanya hatinyalah yang mengarah tubuhnya,bukan lagi jasadnya. Seperti Sang Raja di atas singgahsana. Apabila Sang Raja menyuruh diam, maka diamlah hamba, apabila Sang Raja menyuruh sujud,maka sujudlah hamba, apabila takhta Sang Raja menjadi sarang pengangkara, maka angkaralah rakyatnya.

Inilah kali pertama Mat Yong mengalami pengalaman batin yang tidak dapat di ungkap oleh lidahnya. Diceritakan pengalamannya kepada Shahar dan lain-lain dengan penuh keriangan umpama kanak-kanak mendapat mainan. Shahar hanya tersenyum melihat keletah Mat Yong,.Umpama bayi baru reti bertatih. Bayi sebelum reti bertatih hanya tahu merangkak keriangan. Semua perkara yang menarik perhatiannya dikejar sehingga dapat. Sama ada memberi manfaat atau celaka badan tidak dipedulikannya.

Apabila reti bertatih berlari, ke sana ke mari menunjukkan mainannya, kadangkala tersembam ke bumi kerana kaki masih belum kuat untuk menongkat tubuh. Perjalanan menjadi sempurna jika tubuh sudah bersedia, apabila syariat tubuh dijaga dengan sebaiknya, bukan dizalimi diri dengan merasakan sudah tidak perlu pada tangan dewasa untuk memapah padahal umur baru setahun jagung. Itulah yang dirasakan Shahar apabila melihat saudaranya itu. Kini Mat Yong sudah mula bertatih, Namun masih belum bersedia untuk bertemu dengan ibunya, fikirnya.

“Tahniah Mat Yong kerana berjaya menguasai ilmu Layang Tubuh ini. Ingat, gunakanlah kearah kebaikan dengan meminta bantuan dari Yang Empunya segala ilmu pengetahuan. Bagaimana denganmu pula?” soal Shahar kepada Wak Izwil.
“Tiada gerak yang diizinkan kepadaku, mungkin belum sampai masanya untukku, mungkin Dia merasakan aku belum layak untuk menguasainya” jawab Wak Izwil sedikit cemburu dengan saudara bongsunya.

“Benar kalimahmu saudaraku, namun janganlah kita berprasangka dengan Tuan Empunya jiwa kerana KehendakNya melebihi kehendak kita hambaNya, biarlah masa yang menentukan, mungkin ini bukan bahagianmu” balas Shahar penuh bermakna. Bagi Mat Yong, beliau memang kurang memahami maksud dan kata-kata kekandanya itu.

Thursday, December 17, 2009

Hidup Sampah!!!

Nampaknya isu falsampah dan sampah ini telah berlarutan di Bakul sahabatku OBA. Jika dibiarkan bertimbun, maka sampah ini akan terus bertimbun sehingga melemaskan setiap nafas yang menghidunya.. Lantaran itu, aku mengambil keputusan untuk membuang sampah tersebut dari Bakul sahabatku OBA dan menimbunkannya di Bakulku  kerana akulah yang membuangnya di sana. Silalah hidu sampah ini yang telah dibuang oleh Serunai Faqir untuk dihidu oleh setiap nafas yang sentiasa bergelumang dengan sampah, penulis sama yang telah mengarang cerpen "Mencari Gayung" yang pernah disiarkan di blog OBA dan akhbar Utusan Malaysia.



ARKIB : 25/10/2009
Falsampah
Oleh Serunai Faqir
LALAT. Langau. Lipas. Lipan. Semuanya menyeronot di dalam timbunan sampah yang kian menggunung di medan persampahan itu. Pemandangannya sahaja mampu membunuh jelira sesiapa yang melintasinya atau setidak-tidaknya lewat angin petang yang mengirim aromanya di mana sahaja ia mencecah. Tiada siapa yang mahu larut dalam kebusukan sampah itu, kecuali beberapa manusia yang sudah lama menggunakan sampah sebagai medium untuk kesinambungan dompetnya. Dengan tenang mereka berbaring di atas tilam sampah yang lembut, kata mereka seperti tilam di rumah pak menteri.
“Apa sudahnya kita ini Sarip?”
“Sudahnya kita beginilah,” jawab Sarip acuh tak acuh. Dia tahu pertanyaan itu bukanlah pertama kali disodorkan kepadanya. Entah dia sendiri tidak ingat, mungkin jutaan kali.
“Hanya orang seperti kita sahaja yang mengenal makna sampah. Setiap satu sampah punya bau kejahatannya yang tersendiri. Setiap sampah punya warna pelangi di sisi para marhaen. Setiap sampah tersimpan sejarah dan makna budaya yang tinggi nilainya. Dan tentunya setiap sampah adalah tetap sampah di sepanjang perjalanan menuju kejayaan.” Lensa pandangan Dol tidak berkelip, kali ini dia cuba menghitung bintang yang bertaburan di langit.
“Cukuplah, Dol. Apa lagi guna sampah kalau sudah terbuang? Kau bilanglah sejuta makna dan selaut falsafah, sampah tetap sampah. Seperti juga kita, orang anggap kita seperti sampah sahaja.” Sarip terkuap-kuap. Matanya sudah hampir terkatup ketika mengucapkan perkataan terakhirnya.
“Tapi kita bukan sampah masyarakat…” Nada Dol tegas sekali.
Orang seperti Dol ramai sekali apabila ekonomi mengalami demam H1N1 yang tidak kebah. Tapi Dol bukan orang sembarangan. Dahulu, dia seorang ternama dan kaya-raya. Punya segala yang manusia lain mahukan di atas dunia ini. Sarip senyum sendiri memikirkan dirinya juga dibuang kerja ketika zaman ekonomi melecet. Melecet, bukan meleset.
Jeda memanggung waktu. Dol tidak menghiraukan kata-kata temannya. Baginya kata-kata itu bagaikan sampah dan habuk yang tidak membawa sebarang maksud dan pengertian. Orang-orang seperti Sarip hanya melihat sampah dari sudut luaran. Bagi Dol, sampah itu ada rohnya yang tersendiri untuk dinikmati.
“Kau tahu Sarip.”
“Hmmm … apa dia lagi?”
“Dari sampah yang bertaburan ini, kita boleh mengenal taraf ekonomi rakyat Malaysia,” ujar Dol tersenyum, yakin dengan apa yang diperkatakannya. Di atas timbunan sampah itu, Dol berdiri bagaikan patung tugu pahlawan. Wajahnya penuh patriotik. Tiba-tiba dia tegak menyanyikan lagu Negaraku. Sarip terpaksa berdiri sama demi menghormati lagu Negaraku. Walaupun hanya seorang pemungut sampah, tapi hatinya berkobar semangat cintakan negara. Tidak sesekali dia akan menjual maruah negaranya hanya kerana seorang pemungut sampah.
“Cuba kau tengok sampah di sekeliling kita, cuba kau amati kotak-kotak, plastik dan kertas-kertas. Daripada itu sahaja aku sudah mampu menelah kemampuan ekonomi rakyat Malaysia masih lagi baik. Tengok, tengok.” Dol menoleh ke arah kiri.
“Itu, itu. kotak-kotak burger luar negara, kotak-kotak ayam goreng orang putih, kotak-kotak pizza. Menurut skala indeks di bursa saham persampahan, ia menunjukkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mantap, mampu membeli barangan luar negara. Mampu untuk berbelanja dengan mewah, ketepikan nasi lemak atau nasi dagang yang enak dan mampu memberikan zat yang cukup serta beralih kepada makanan luar yang mengarut. Dan tentunya mereka ini terdiri orang-orang yang kurang patriotik terhadap negaranya.” Kotak-kotak sampah itu dikais-kaisnya. Sesekali matanya liar memandang keliling.
Sarip terkuap-kuap. Dia hanya memerhatikan sahaja rakannya yang semakin melalut. Semakin malam, semakin melalut, bisik hatinya.
“Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang bersikap sederhana dalam membeli barangan dan sekaligus bersikap patriotik. Tak ramai, tak ramai. Hanya inilah golongan yang benar-benar patriotik dan cinta negaranya.”
“Bagaimana pula kau lebih tahu daripada aku?” Tiba-tiba Dol jadi semangat apabila ditiupkan semangat patriotik. Walaupun hembusannya lembut tapi berkesan. Dol tak perlu naik dan kibar bendera merata-rata kalau masih lagi makan di kedai sang imperialis atau memandu kereta buatan orang Yahudi.
“Kau tengok.” Dol menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Sarip. Kelihatan saki baki sambal nasi lemak berbekas di kertas. “Orang yang patriotik tetap akan makan nasi lemak, itu … itu … kertas bungkus nasi lemak, bekas polisterin lauk rendang. Haaa … begitu kaedahnya Sarip. Bukan patriotik di mulut sahaja tetapi juga di lidah, tekak, perut pun mesti juga.”
Baring
“Apa-apa sahajalah Dol,” jawab Sarip, dari baring dia duduk. Memerhatikan sekeliling. Memerhatikan kebenaran kata-kata temannya walaupun dia tidak pernah ambil peduli semua itu. Yang penting adalah perutnya perlu diisi agar tidak berkeroncong sewenang-senangnya berbunyi tak tentu masa dan keadaan.
Dan bintang masih tersangkut di dada langit. Bulan masih bersinar megah, kerana ia tahu bahawa ada manusia yang masih punya fikir walaupun skru kewarasan otak manusia semakin longgar. Tapi tak semua yang longgar. Fikiran kebanyakannya di bawah tapak kaki. Kalau tidak masakan golongan sepertinya masih wujud lagi di sini.
“Dalam mengaji kita mengkaji Sarip,” ujar Dol perlahan. Dia mengusap kepalanya, fikirannya berputar mencari jawapan yang tak pasti. Perlahan dia duduk di sebelah Sarip. Sehelai kertas putih bertulis tangan dibacanya.
“Manusia sudah tidak sayang ilmu. Kertas-kertas ini walaupun hanya bertindak sebagai medium untuk menyampaikan ilmu tapi ini sahajalah taraf dan kedudukan yang mampu dicapai - di timbunan sampah layaknya,” gumam Dol.
“Bermakna apabila rapuhnya kecintaan terhadap ilmu, maka rapuh jugalah ikatan di antara masyrakat. Antara bangsa, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara guru dan murid. Semuanya berantakan.” Sambungnya lagi. Dol terdiam untuk seketika. Rumah tangganya juga kacau bilau dek kerana dibuang kerja. Duit tiada, anak sakit. Kerja payah dapat, bini melompat! Akhirnya dia berkawan dengan sampah-sampah yang lebih mengerti perasaannya.
Sarip sudah berdengkur. Tak larat mendengar ocehan temannya yang kuat benar berfalsafah. Baginya mudah, kerja cari duit untuk esok. Perut mesti diisi, tekak jangan kering, mulut mesti berasap. Mudah, mudah sahaja hidup ini. Yang jadi susah apabila ada manusia yang menyusahkan hidup orang lain dengan nafsunya yang tamak dan rakus. Itulah yang menyusahkan semua orang atas muka bumi ini.
Dol memandang ke arah Sarip, kemudian melontarkan lensa pandangannya ke rahang malam yang semakin rakus menelan cahaya. Kegelapan sudah berkerajaan. Lalat, langau, lipas dan lipan masih bersepah di atas tilam sampah yang akan diladeni sebentar lagi.
Dalam lena itu, Sarip merasakan bahawa dirinya sudah melangkaui alam yang sepatutnya.. Di sana dia berjumpa dengan seorang budak kecil (memang klise - kalau mimpi mesti jumpa orang tua berjanggut dan berjubah putih tapi ini lain) yang comel dan manja sekali riak wajahnya. Dia menghulurkan tangannya, Sarip menyambut.
“Tangan abang kasar.” Budak kecil itu tersenyum.
“Mana tak kasarnya, kerja kutip sampah. Tangan selalu kotor dan selalu kena basuh. Pegang benda-benda kotor dik.” Sarip senang sekali dengan budak itu. Dalam fikirannya teringat anak Dol yang seusia dengan budak yang tercokoh di hadapannya.
“Tak mengapa abang, walaupun kerja kotor tapi duitnya bersih. Jangan kerja bersih tapi duitnya kotor. Kerja kotor begini, kalau basuh dia boleh bersih. Kerja bersih yang kotor kalau basuh orang lain yang kena. Tapi, paling penting hati mesti bersih.”
Sarip senyum. Terpikat dengan keletah dan perkataan yang diujarkan.
“Kenapa adik cakap begitu? Adik tak tahukah berapa ramai yang menghina pekerjaan abang? Saudara mara semua lari, kawan-kawan apatah lagi. Kata mereka lagi, kerja busuk dan hina sama macam sampah yang ada di tempat abang.”
Budak kecil itu ketawa lalu menghela tangan Sarip. Mereka terbang. Terbang ke dalam kegelapan malam. Terbang di atas awan biru. Angin sejuk menampar pipinya. Sarip terasa bahagia. Tiba-tiba tangannya dilepaskan. Serta merta anganan Sarip meluncur ke bumi. Segala mewah kasih dan bahagia impian akan terhempas sedikit masa lagi. Tiba-tiba …
Masa terhenti. Semua menjadi kaku, menjadi beku.
“Apa ada dengan kekayaan dan kebahagiaan kalau terhasil dari tangan-tangan yang berdanur? Ibarat kaca terhempas ke tanah, itulah umpamanya. Jatuh berkecai dan akhirnya. Biarlah kerja kotor tapi halal dan bersih.
Sarip tidak bergerak, tubuhnya seakan hancur. Menjadi berkeping-keping. Halus dan akhirnya menjadi lumat. Tubuhnya bagaikan terapung dan terawang-awang seperti zarah-zarah halus yang melewati terowong cahaya. Sarip masih hidup, dia merasakan itu, namun dia tiada daya upaya untuk bergerak atau berkata walau sepatah.
Budak kecil itu menarik semula zarah-zarah halus (jasad) Sarip dan melemparkan ke udara. Sekali lagi tubuh yang bersifat halus menjadi zat dan jasad yang kasar. Jatuh berdebup di atas tanah. Kali ini kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Ada darah mengalir siku dan lututnya.
“Apa semua ini?” Sarip menyeringai kesakitan.
“Itulah perasaan yang bernama kesakitan, kebencian, kemarahan, kekecewaan, kehampaan dan, dan itulah yang telah kau berikan sewaktu menduduki kerusi empuk di pejabat berhawa dingin.”
Menitis
Sarip memandang ke arah Dol. Hanya dengkur dan embun pagi sahaja menitis. Suara lalat, langau, lipas dan lipan bagaikan tertangkap oleh telinganya. Semuanya berzikir, mengucap syukur kerana dalam laut sampah itu ada rezeki mereka.
Mereka lebih faham segenap inci, ruang, sudut dan bau sampah yang bertimbun itu. Sarip berdiri memerhatikan mereka. Sesekali matanya tertancap pada barisan semut gula yang bekerja keras mencari rezeki. Dol terjaga, pandangan mereka saling bertikam dan akhirnya Dol menukar lensa pandangannya ke hadapan.
“Dalam sampah ini ada rezeki kita, Sarip.”
Sarip mengangguk.
“Ada apa lagi dalam sampah ini, Dol?"
Dol menoleh ke arahnya, hairan. Mungkin selama ini Sarip menganggap dirinya sewel kerana bercakap soal sampah, tapi dia tidak pernah ambil pusing. Tapi memang Dol tahu dalam sampah ada macam-macam. Dan dalam macam-macam itu juga ada sampah.
Walaupun zahirnya seperti sehelai kain putih yang mulia dan mulus di pandangan ramai, namun Dol tahu bahawa di hati mereka, bertaburan sampah-sampah dan segala macam habuk. Gelap-gelita hati mereka. Memandang dengan pandangan manusia. Berkata dengan perkataan manusia. Bermegah dengan kemegahan manusia.
Ah persetankan itu semua, Dol membentak dalam hati.
“Kalau kau nak tahu, Sarip. Apa kemuliaan dalam timbunan sampah yang melaut ini? Ini yang manusia tidak pernah mahu ambil tahu dan tidak tahu pun apa yang ada pada kita dan sampah-sampah yang berselerakan ini.” Dol memulakan lagi syarahannya seperti biasa.
“Dalam persampahan ini, kau dan aku dan kita dengan sampah. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Adakah kita memerlukan sampah untuk terus hidup. Atau bagaimana? Sampahkah yang memerlukan kita untuk terus berada di sini. Kalau tanpa manusia, sampah-sampah ini bergolekan di merata tempat tanpa ada pembelaan? Bagaimana?”
Sarip termenung dengan persoalannya. Ceritanya cuma sampah. Semuanya sampah. Dalam sampah ada sampah - itu bagi mata manusia yang melihat tetapi tidak merenung. Tapi bagi yang merenung dan menilik, dalam sampah ada kesucian yang tak terungkap. Sucinya sampah-sampah itulah yang telah menyebabkan ribuan manusia, haiwan, kuman-kuman terus hidup di atas muka bumi ini. Dan sampah yang paling mulia juga adalah sampah yang telah diproses lalu berkhidmat untuk manusia.
“Jadi sampah itulah yang lebih mulia dari manusia. Sarip kau tengok kotak-kotak makanan, minuman, pakaian - itukan diperbuat dari sampah-sampah yang kita kutip. Dan pesanan yang paling menusuk hati aku adalah ketika pertama kali aku menjual sampah dan kotak. Kata tauke itu begini, ‘bagus orang Melayu sudah tidak malu menjual sampah.’ Muka aku merah, namun aku menjawab, ‘duit itu kan tidak busuk.’ Ya, sejak itu, aku tidak pernah malu menjadi seorang Melayu yang menjual sampah dan kotak.” Dol menghela nafas. Mengenang kembali pertemuan pertamanya dengan sang tauke.
Sarip terus mendiamkan diri. Kata-kata Dol itu banyak kebenarannya. Sejak ekonomi merudum. Sejak kegawatan akhlak merudum. Sejak perpecahan antara perhubungan kekeluargaan, masyarakat dan bangsa, hanya sampah menjadi lambang penyatuan kepada itu semua.
Statusnya sampah tapi maksudnya sampah-sampah di sini bersatu tidak mengira dari rumah siapakah sampah itu berasal. Saling berasak dalam lori sampah yang mengangkut lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk menyatukan maksud dan maknawi. Jangan jadikan perpaduan itu seperti sampah, tapi jadikanlah sampah itu umpama lambang perpaduan.
Sarip terhenyak dengan persoalan-persoalan yang menghunjam benaknya. “Sampah, ya sampah.”
“Ya, sampah,” sahut Dol.
“Hidup sampah!" jerit mereka berdua. Dan kita juga adalah sampah-sampah dan sampah-sampah juga adalah kita, fikir Sarip.

Tuesday, December 15, 2009

Sajak Buat Sahabatku.....

Sahabat..

Kasihmu tetap setia menantimu..

Menanti masa dan ketika..

Ketika kau benar-benar bersedia..

Terjun ke lautan api gelojak jiwa..

Memenuhi ruangan alam sukma..


Sahabat..

Takdir bertapak menurut perintah..

Sepi membisu mengikut fitrah..

Persetankan mereka!

Bukan mereka temanmu..

Mengapa bersekutu dengan seteru..

Mengapa mengadu pada yang kaku..


Sahabat..

Pungguk bukan seekor..

Merindu bulan meratap berseorangan..

Mengeluh nasib nak terbang tak sampai..


Sahabat..

Kasih melambai tak pernah jemu..

Tiada saat tidak terisi..

Kasih merindu pada sang pertapa..

Menyorong tangan menanti bersahut..

Mengapa berpaling Kasih menyeru?..

Tinggalkanlah segala yang bertakhta..

Ahhh... Sahutlah... Sahutlah...


Sahabat..

Janganlah kau menunggu lagi..

Menanti takdir berteman sepi..

Membawa pergi rindu di hati..

Kasih menanti setia di pintu Qurbah..

Pergilah sendiri bersama rindumu..

Tinggalkanlah laramu..

Susurlah lorong yang telah disediakan..



Sahabat..

Percayalah....

Lautan kasih tiada taranya..

Menenggelamkan setiap rindu yang meronta keganasan dalam mautauka..

Umpama Tsunami merobek jiwa..

Ahh.. Ahh.. Lemas.. Lemas......



p/s... Kadang-kadang aku bertanya sendirian, Akukah pungguk Diakah bulan?

Monday, December 7, 2009

Ibu, kau di sini rupanya...... (siri 5)

Dzat! DZat! DZat! Tangkas sekali pergerakan pesilat-pesilat Belangkas bersilat. Hari ini seramai 3 pesilat baru telah diperkenalkan. Manji , Tahakontot, dan Lahkubing. Kelihatan sumbang sekali langkahan mereka kerana baru kali pertama belajar silat.

“Baiklah saudara seperguruanku, pada pagi ini telah diilhamkan padaku untuk menurunkan ilmu yang ada padaku dinamakan Layang Tubuh. Dengan adanya ilmu ini dengan keizinanNya, maka segala mara bahaya akan dapat kau elak, serangan hendap tiada terkesan, tubuh berjaga di dalam dengkurmu. Layang Tubuh bukanlah ilmu sesat, bukan menjadi kuat, jika benar jalannya akan mendapat makrifat. Ilmu ini tergantung kepada penumpuan dan bakat yang ada padamu. Bukan semua mampu menguasai ilmu ini, setinggi mana ilmu persilatanmu bukan penentuan kamu akan menguasainya. Hanyalah dengan izin Allah semata”

Mat Yong, Wak Izwil, Mat Rizan, Ahmad Shakar semuanya begitu khusyuk mendengar penerangan dari Shahar. Mat Dami dan Poka hanya tersenyum di tepi. Rupanya mereka telahpun menguasai ilmu layang tubuh tersebut. Landak Adan tiada di gelanggang kerana ada urusan lain yang lebih mustahak.

Seminggu sudah berlalu semenjak Shahar menurunkan ilmu Layang Tubuh. Namun Mat Yong masih juga belum menguasai ilmu tersebut. Mat Yong melempiaskan tubuhnya di lantai rumahnya sambil merenung memikirkan bagaimana untuk menguasai ilmu tersebut. Ketika fikirannya hampir terlayang dan melelapkan mata, tiba-tiba…. (hehe….macam biasa la)

Sunday, December 6, 2009

Jiraiya, Orochimaru dan Tsunade.....

3 orang Sanin tersebut adalah merupakan 3 ninja terhebat di Kampung Daun dalam negara Pawaka. Kehebatan mereka bertiga adalah menjadi legenda dalam kampung tersebut.

Mereka bertiga merupakan pelajar kepada ninja terhebat Konoha sepanjang zaman, Hokage ke-4 kampung Daun ( Minato Namikaze) yang digelar Konoha No Kiroi senko, yang mati kerana mengorbankan diri ketika cuba menyekat Iblis terkuat dalam sejarah iaitu Musang Sembilan Ekor yang telah memporak-perandakan seluruh dunia. Anaknya sendiri bersama Uzumuki Kushina iaitu Uzumaki Naruto dijadikan korban untuk mencapai matlamatnya membawa keamanan kepada dunia.

Yang menariknya bagi saya ialah, Jiraiya telah berkecimpung di dalam bidang penulisan ( buku lucah??!), sambil menjalankan misi pengintipan di seluruh dunia.

Manakala Orochimaru menjadi seorang pemberontak yang gilakan hikmat kekal abadi, dan hobinya adalah menimbulkan kucar-kacir di seluruh dunia sehingga dikelaskan penjenayah kelas S, malah menjadikan kampungnya sebagai sasaran percubaan hikmatnya dan kerana dendam kesumat terhadap hokage ke-3 ( Hiruzen Sarutobi) sehingga sanggup membunuh gurunya itu selepas kematian hokage ke-4.

Tsunade pula terlalu asyik dengan judi walaupun beliau sentiasa bernasib malang malah tidak pernah menang pun, jika menang sekalipun, maka beliau tahu bahawasanya beliau akan dirundung malang. Anehnya..

Apa yang aneh? Yang aneh bagi saya ialah, bagaimana 3 Sanin, legenda terkuat di kampung daun, tetapi tiada seorangpun yang berminat menjadi HOKAGE.

Malah Tsunade terpaksa menerimanya kerana tertarik dengan Naruto, seorang pelajar hingusan yang berjaya merubah hatinya dan selepas kematian HOKAGE ke 3. Itulah perempuan.

Jiraiya? Langsung menolak! Beliau lebih suka menulis buku. Orochimaru? Beliau hanya suka dengan hikmat dan berdendam kerana dihalau keluar dari kampung kerana membunuh penduduk kampung daun untuk mendapatkan ilmu kekal abadi.

Maka saya ingin menjawab seperti yang menjadi soalan sahabat saya OBA di blog Tapak Yoi iaitu selain Jiraiya, saudara Mautauka juga berminat dengan penulisan.

Saudaraku OBA...

Dari kisah 3 Sanin tadi dapatlah saya simpulkan:

1. Memang apabila seorang ninja mencapai peringkat Sanin, maka minatnya berubah samada menjadi penulis (blog,e-book,cerpen,nukilan,hikayat dsb) , gila hikmat(mautauka,Oba,Fakir dsb) atau buat kerja-kerja tak berfaedah (main judi, taip blog pukul 3 pagi, main game tengah malam, buat e-book sampai sebulan, mandi bunga, dsb).

2. apabila sampai kepada peringkat Sanin juga, menjadi ketua bukanlah matlamat, tetapi matlamat adalah samada melindungi sesuatu secara bawah tanah dan berkongsi idea lucah??! (Jiraiya), menimbulkan huru-hara(orochimaru), atau langsung lari dari realiti(Tsunade). Menjadi ketua hanya jika terpaksa sahaja.

Kesimpulannya, adakah anda telahpun mencapai peringkat Sanin atau berada pada tahap shunin,chunin ataupun junin (tugas menjalankan misi kelas C,B,A atau S) maka lu fikirlah sendiri.

Aku pun tak tau nak buat kesimpuulan ape.. deyy.. ape yang aku merapik ni daa......

Wednesday, December 2, 2009

Silat Seni Gayong Malaysia.....

Assalamualaikum...

27.5.2002
Orientasi bermula selama seminggu. Masihku ingat, seorang MPP berucap, enak sungguh halwa telingaku mendengar ucapannya,penuh hikmah dan keyakinan. Tapi...susah nak nampak mukanya,kecik je orangnya.. kemudian ucapan YDP MPP,penuh jambang di wajahnya,garang sekali nampaknya. Tapi... ucapannya memang tak best. Terketar-ketar..macam baca teks. Aku bagitau pada orang sebelahku, yang kecik tu tadi mesti bekas guru, YDP tu mesti tiada pengalaman mengajar. Tepat sekali tekaanku..

22.6.2002..

6 sahabat berjanji untuk turun latihan Silat di depan bangunan MPP. 5 orang telah turun pada hari tersebut,namun aku tidak turun kerana sayangkan tidurku. Sebelum itu, YDP MPP @ Mat Dom mengajak turun bergelanggang setelah berbual pada malam sebelumnya.

2 minggu kemudian...

Aku masih terus tidur.. Jam menunjukkan pukul 9 pagi, 5 sahabat yang lain semua dah turun bersilat sejak 8.00 pagi, akhirnya aku memilih untuk sambung kembali tidur dan berasa sangat menyesal dan malu lalu timbul di hatiku, "nampaknya sekali lagi sejarahku berulang, silat bukan takdirku". Tiba-tiba..... 'uda'..'uda'.. berkali-kali namaku dipanggil. aku kenal suara itu adalah Mat Dom, aku terus bingkas bangun, melihat ke tingkat 1, dan Mat Dom mengajak aku pergi bersamanya.

Kali pertama turun bergelanggang di depan MPP. Aku di perkenalkan dengan cikgu Azman, susuk tubuhnya lebih krang sama dengan guru lamaku, cikgu Razali yang mengajarku Pusaka Gayong. Aku tengok mereka semua belajar golongan 10. Mat Dom yang ajar, lalu aku terus boleh buat sebab aku dah pernah belajar sebelum ni.. aku kenal Halim,bengkung putih,mesra orangnya.

seminggu kemudian...

Aku makin pening. inilah kelemahan utama aku. aku susah sangat nak paham buah yang dipelajari. Apa yang patut aku buat, kenapa susah sangat nak hafal setiap gerakan?! Tengok Yasir mudah je hafal. Orang lain pun mudah je.
Hanif,Ibrahim, saifullah, saiful anuar semuanya yakin jer.

Setiap kali abang shah tunjukkan buah, aku slalu melihat dengan teliti, tapi masih tak dapat buat dengan baik. Rasa macam dah fedup,nak mengalah dah. Aku ingat abang shah cakap setiap kali dia tunjukkan buah, "ha, tengok! tengok baik-baik". itu je yang dia cakap,kejam betul! Mana la aku nak paham..

Abang shah a.k.a abang KK ni aku perasan dia suka cakap melalut. kadang-kadang tak tahan nak gelak setiap kali dia buat lawak. Tapi aku perasan satu, kata-kata dia ni ramai orang tak paham termasuk aku. Tapi yang pelik, abang mat Dom, abang Po'ok, abang azlan nampaknya macam paham je ape yang dia cakap. Aku rasa sebenarnya percakapan dia ni berisi dalam mengarut! Aku ingat perbualan Mat Dom dengan dia, mat Dom tanya "ha,macammana AKU hari ni?" "Aku ok" Gilo apo diaorang ni, lepas tu gelak-gelak! penin! penin! Ckg Azman pernah cakap, "shah ni kamu kena dengar baik-baik kata dia, kerana dalam lawak dia tu sebenarnya penuh dengan makna". tapi aku tengok ckg Azman pun kadang-kadang tak paham apa dia cakap.

Waktu rehat aku mengambil peluang sepenuhnya untuk berehat di tepi longkang di depan bangunan MPP. Dah hampir sebulan aku bersilat. Masih susah untuk faham nak buat buah silat. Nasib baik ada Yasir, dia cepat hafal buah, aku sebilik dengan dia, jadi tiap-tiap hari aku tanya dan minta dia hafal buah-buah yang diajar. kami turun setiap petang berdua je di depan bangunan MPP. Malu semua buang tepi, abang shah tengok kitaorang turun petang, dia pun turun gak. Aku tercabar bila ckg Azman kata dulu abg Shah n lain-lain turun berlatih petang-petang. takkan aku tak boleh buat?

Tiap-tiap petang abang shah ajar kami buah silat. KOmbat. pening...pening... satu pagi, minum air,waktu rehat, penat berlatih silat aku duduk di tepi, aku tengok abang shah tunjuk buah silat pada orang lain. Aku sebenarnya rasa hampir putus asa je.. Tiba-tiba.... aku terlihat sesuatu yang belum pernah ku lihat. selama ini aku pandang ke atas. membangga dengan diri, berlagak, rasa di atas lebih baik. aku terlalai untuk memandang ke bawah. bila aku dah terduduk barulah ku tahu di mana silapku selama ini.

"TAPAK" ya, itulah sebenarnya yang ku cari selama ini. aku tidak memahami tapak, jadi bagaimana aku nak bersilat. Selama ini aku hanya menghafal, sebenarnya aku perlu memahami, mengerti barulah aku boleh mengenal. sejak itu, bersilat bukan lagi masalahku, buah kombat, kuncian? semuanya mudah. Yang masih menjadi sukar adalah kelembapan otakku untuk mengingat satu persatu.

Taman Nirwana. Hujung semester 1 2002.

Aku dan 6 rakanku, Yasir, Hanif, Saifullah, Saiful Anuar, dan Ibrahim mengambil ujian di taman Nirwana. Bersemangat sungguh aku rasa sebab aku buat tanpa kesilapan. Seronok rasanya, semua kami lulus, tetapi...