Friday, December 31, 2010

Seladang....

                                            gambar diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Seladang
Hari terakhir tahun 2010 ini saya ingin bercerita sedikit mengenai seekor binatang yang selalu kita dengar namun jarang kita jumpa iaitu seladang. Saya pernah melihat binatang ini semasa kecil apabila dibawa ayah dan ibuku ke Felda jenderak selatan,kuala krau ketika ayahku masih bertugas sebagai guru besar di SRK  Kuala Krau.

Sila baca dengan teliti.

Seladang (Bos gaurus, dahulu Bibos gauris) ialah sejenis haiwan bovin yang besar dan berbulu warna gelap di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Bilangannya yang terbesar pada hari ini adalah diIndia. Seladang ialah spesies lembu liar yang terbesar dan adalah lebih besar daripada Kerbau TanjungKerbau Air Liar Asia, dan bison. Dalam konteks pelancongan safari, ia dikenali sebagaibison India, akan tetapi istilah ini tidak tepat daripada segi teknikal. Bentuk bela jinak Seladang dikenali sebagai gayal atau mithun.
Seladang dapat dikenal pasti menerusi rabung cembungnya yang tinggi pada dahi di antaratanduknya yang melentur dengan tetap ke depan. Ini menyebabkan lekuk pada tampang bahagian atas kepalanya. Hujung tanduk melentur ke dalam dan sedikit ke belakang, manakala kaki tanduk sangat leper. Telinga Seladang amat besar, tetapi ekornya hanya sampai ke pergelangan kaki belakang. Tidak terdapat gelambir yang jelas pada leher dan dadanya. Rabung di bahagian belakang sangat ketara.
Seladang jantan dewasa berwarna antara perang gelap sehingga hampir hitam bagi Seladang yang amat tua. Bagaimanapun, bahagian atas kepala dari atas mata sehingga tengkuk berwarna kelabuatau kekadangnya putih kotor. Muncung Seladang jantan berwarna pucat, dengan bahagian bawah kakinya berwarna putih tulen. Bulu jantan yang tua sangat nipis pada bahagian belakangnya.[1]Sebaliknya, warna Seladang betina dan anak lebih pucat dan kekadang mempunyai warna kuning keperang-perangan sedikit yang paling ketara bagi Seladang yang hidup di daerah kering dan terbuka. Tanduk Seladang berwarna hijau pucat atau kuning hampir pada sepanjangnya tetapi hujung tanduk berwarna hitam.[1]
Seladang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum :bertulang belakang (vertebrata), kelas : mamalia(berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu, dan menjaga anak) Aturan : Artiodactyla, Keluarga : Bovidae.
Seladang tergolong dalam keluarga yang sama dengan LembuBanteng dan Kambing Gurun. Seladang jantan yang matang boleh membesar dan mencapai ketinggian 2 meter (6 kaki) dan berat sehingga 900 kilogram. Jangka masa bunting/ mengandung adalah 9 bulan dan biasanya seekor anak dilahirkan. Anaknya mencapai tempoh matang dalam masa 3 tahun dan ia boleh hidup selama 25 tahun.
Seladang hidup di dalam kumpulan 4-8 ekor yang boleh mencapai sehingga 30 ekor. Kumpulan ini diketuai oleh seladang jantan yang berkuasa. Seladang lebih aktif ketika subuh dan senja serta berehat daripada pancaran terik matahari di bawah pokok sepanjang hari. Seladang adalah haiwan maun dan makanan utama Seladang adalah tumbuhan, terutamanya rumput-rumpai. Seladang mudah ditemui di kawasan di mana rumputpokok herba, pokok renek dan daun-daun mudah diperolehi.
Selembu di Zoo Negara Malaysia.
Pada masa ini terdapat kacukan baka seladang dan lembu yang dikacuk di Zoo Negara Malaysia, yang dikenali sebagai Selembu.

Tapi ada satu sahaja yang ingin saya komen iaitu mengenai pemakanan seladang. Seladang adalah haiwan herbivor yang makan dari pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang segar dan berkhasiat. Tumbuh-tumbuhan ini merupakan sumber tenaga terbesar dalam kitaran makanan kita yang menyerap tenaga dari matahari. 
Tumbuh-tumbuhan ini akan dikunyah oleh seladang tersebut dan dihadam melalui 4 perut yang dikurniakan Allah melalui proses-proses yang tertentu. (malas nak cerita).
Setelah melalui proses-proses tersebut selama beberapa hari, segala zat dan khasiat yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan ini akan diserap sepenuhnya dan ditukar menjadi tenaga kepada seladang tersebut.
Lalu hampas dari makanan yang dihadam ini tadi ditolak ke hujung usus oleh makanan-makanan baru dan hanya menanti masa untuk dikeluarkan lalu menjadi bahan kumuh atau dikenali sebagai tahi seladang@ bullshit. Bullshit ini pula baunya memang agak membusuk kerana sudah disimpan terlalu lama lalu mengeluarkan gas sulfur dan gas-gas lain yang menyebabkan bau busuk. Malah bullshit ini akan dilepaskan bertaburan di mana sahaja seladang tadi ingin berkumuh. Namun bullshit ini juga masih berguna dan bermanfaat oleh petani untuk membuat baja bagi menyuburkan tumbuh-tumbuhan lain yang akan dimakan oleh seladang tadi. Lalu kitaran bullshit ini akan berterusan selagi seladang tadi masih hidup.. sekian

P/s. Hahahahahahahaha!

Monday, December 13, 2010

Beratnya...


Suatu ketika Mat Yong berbual dengan Landak Adan di surau kampungnya...

Landak Adan : Assalamualaikum Mat Yong, jarang dah nampak di surau akhir-akhir ni,sibuk ke?

Mat Yong : Waalaikumsalam... Bukan sibuk bang,saya kan dah pindah rumah baru-baru ni,jauh sikit dari surau, tu yang jarang pergi tu..

Landak Adan : Kenapa pula jarang pergi bila dah pindah rumah? Kereta kan ada?

Mat Yong : Bukan macam tu.. Dulu rasa senang sikit nak pergi sebab dekat,boleh jalan kaki je. Sekarang ni jauh jadi kadang-kadang tak sempat,rasa berat sikit tubuh nak pergi, nak kena panas enjin kereta dulu,nak jalan kaki tak larat..

Landak Adan : Ni abang nak bagitau.. Yang berat itu HATI bukan TUBUH.. Kalau hati kamu ringan,sejauh mana pun kamu akan usaha datang,macam masa kamu jumpa makwe kamu,sejauh manapun sanggup pergi,betul tak! Tapi bila hati dah berat, masjid sebelah rumah pun tak pergi juga!

Mat Yong : Kena lagi aku(dalam hati)

Monday, December 6, 2010

GILA BENGKUNG



Tersebut la kisah,sekumpulan manusia,
Sombong belaka,riak pun ada,
Kata tak kisah, tapi hati melara
Melihat orang lebih darinya.

Hidupnya penuh hasad dan dengki.
Pada manusia yang diberi sakti.
Culanya tinggi idaman hati.
Apakan daya orang tak bagi.

Konon tak kisah cula yang sakti.
Janji ilmunya melangit tinggi.
Mengata orang sesuka hati.
Riaknya besar tak sedar diri.

Cula itu satu amanah
Buat orang bersifat fathonah
Kau pula dengki menyumpah seranah
Konon kaulah penyelamat ummah

Kalau diikut resamnya padi..
Makin berisi makin menunduk…
Namun diikut resamnya keladi..
Makin berisi makin melalut…

Ada pula yang tak gila cula..
Konon tak sanggup, ilmu tak ada,
Malas belajar, sibuk la pula…
Buat alasan berganda-ganda

Buatlah apa membazir tenaga..
Mencari ilmu yang tak seberapa,
Kalau begitu baik berhenti sahaja,
Cari duit buat belanja..

Konon culanya rendah ilmunya ada
Orang tengok hebatnya dia
Tak sedar itulah riak yang celaka
Ilmu ada disembunyi pula..

Kisah Sodom, dua jejaka
Berzikir mereka, berdua saja
Tak peduli mereka amanah tuhannya
Akhirnya mati dalam celaka
  
Konon kau la penyelamat bangsa
Mengajar manusia jangan gila kuasa
Masyarakat punah kau buat apa??
Menolak  amanah sebab tak gilakan cula
Pigidahh!

IBNU HARON

Tuesday, November 16, 2010

Kenapa Sembah Batu?


Selepas solat Maghrib,maka bertakbirlah para jemaah mengagungkan Allah Azzawajalla menandakan tibanya Hari Raya Qurban.. Lalu selepas membaca doa, Mat Yong menghampiri Landak Adan perlahan-lahan lalu terus baring disisinya. Selang beberapa ketika...

Mat Yong       : Tengah berzikir ke bang? khusyuk benor nampak tu!

Landak Adan : Biasalah kita ni hamba,lemah,nak solat 24 jam tak larat maka sebab itulah nabi kata ibadah yang paling mudah adalah berzikir.. Kamu tiba-tiba je baring sebelah abang ni kenapa? mesti ada udang di sebalik mee ni!

Mat Yong : Hehe... abang Landak ni memang tinggi ilmunya,tau aje ye.. Ni bang,saya nak tanya, Allah ni ada kat dalam kaabah ke? Kenapa semua manusia menuju ke Mekah dan menyembah kaabah? Kenapa nak sembah batu tu? Kan ke itu rumah Allah,Allah pun perlu rumah ke?

Landak Adan : Bukan begitu...Allah itu tidak sama dengan satupun makhluk.. Dia tidak bertempat seperti bertempatnya makhluk malah luar dari akal manusia yang dangkal ini. Allah ini ghaib pada pandangan manusia,tiada seorangpun yang pernah melihat Allah secara nyata termasuk nabi Muhammad kecuali kat akhirat nanti. Kalau tak nampak macammana kau nak sembah? jawab! jawab!

Mat Yong : Laaa..kita sembah je la dengan menundukkan hati,dengan membayangkan seolah2 kita berdepan dengan Allah atau seolah-olah Alllah melihat kita. Betul tak?

Landak Adan : Pandai pun! Jadi kaabah itu sebagai panduan atau tumpuan untuk kita menyembah Allah, sebagai tempat menundukkan anggota zahir, jadi semua orang menyembah ke arah yang satu yakni kaabah namun hakikatnya hati kita menyembah Allah. Ini kerana kita tak nampak Allah namun kita nak sembah Allah,nak cari Allah, tapi di mana? Bagaimana nak tunjuk kita cintakan Allah?

Mat Yong : Saya faham!!! Jadinya Allah zahirkan satu tempat yang suci yakni kaabah supaya manusia ada tempat nak tuju dan sembah serta berkorban harta dan nyawa iaitu menunaikan haji untuk menunjukkan kita cinta dan rindukan padaNya,betul tak? Jadinya kita tak sembah batu,kita tak kata batu tu ada kuasa apa-apa atau Allah ada dalam kaabah dan perlukan rumah, kita cuma menjadikan kaabah sebagai tempat tujuan untuk menunjukkan ketaatan dan supaya manusia ada tempat untuk dituju. Yahuuuuuuuu!!!

Landak Adan : yahuuuuuuuu!! (tersenyum)

Lantas Mat Yong dan Landak Adan terus menjerit-jerit 'yahuuuuuuu'!

P/s Kenapa berkorban sedangkan Allah tak perlukan pada korban? Kerana yang Allah nilai usaha manusia, bukan Allah perlukan usaha tu,cuma manusia yang perlu usaha untuk dapat redha Allah..

Monday, November 15, 2010

Ibu.Kau Di sini Rupanya... (Siri 14)



            Lalu Shahar mengajaknya solat Maghrib dahulu kerana haripun telah beransur kelam.  Mat Yong lalu mengikuti rapat disisi dan pulang dengan keadaan perasaannya  bercampur baur. Beliau sebenarnya masih mengharapkan untuk memiliki bunga yang menjadi idaman setiap manusia yang melantas di taman tersebut,namun apakan daya, dia sedar dia tiada kuasa untuk menentukan dengan kehendak hatinya kerana kehendak pengukir sentiasa mengatasi kehendak pembeli.

            Pengukir tahu mengenai pemilik yang sesuai untuk menyimpan bunga ukirannya. Setiap helai daun, setiap kelopak bunga setiap inci panjang tangkainya telahpun diukur molek benar dengan kehendak dan kesesuaian bakal pemiliknya. Sebab itulah orang lain tidak sesuai untuk menggunakannya. Seperti juga senjata Melayu yang ditempah khas untuk seseorang, maka pengukir akan mengukur setiap inci panjang dan lebar yang sesuai untuk si pemakai supaya tidak akan memakan diri sendiri di kemudian hari. Jangan nanti harapkan pagar,pagar pula yang memusnahkan padi akibat rapuhnya pagar yag didirikan itu tadi.

     Kini Mat Yong telah mula memahami  bahawa walaupun sehebat manapun ilmu kependekarannya, seutuh manapun kasih dan sukanya akan bunga tersebut, sedalam mana keinginannya untuk memilikinya, sekuat mana keteguhannya berusaha mendapatkannya,namun takdir lebih mengatasi segala-galanya. Maka benarkah takdir menentukan segala-galanya? Jika begitu mengapa perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu? Mengapa perlu berusaha untuk memiliki sesuatu seperti harta, ilmu dan sebagainya??!!! Tidak bolehkah sekadar berserah kepada takdir jika takdir yang memiliki segala-galanya? Terhambur persoalan demi persoalan dalam hati Mat Yong. Solatnya pada malam itu berimamkan Shahar menjadi tidak khusyuk dan diapun tidak tahu apa yang dibaca sepanjang solatnya tadi. Sedar-sedar Shahar sudahpun memberi salam.

       Selesai memberi salam, shahar pun berpaling menghadap mat yong dan menemukan lututnya dengan lutut Mat Yong. Direnungnya Mata Mat Yong dengan renungan yang tajam. “apa pula la orang tua ni nak” Detik hati Mat Yong sambil tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
            “Tahukan kamu apa yang menjadi hakmu? Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulut Shahar.  “Hakmu adalah mendapat rezeki yang ditentukan oleh Allah… Maka apa pula hak Allah?” sambung Shahar lagi walaupun soalan pertamanya belumpun sempat dijawab Mat Yong. “hak Allah adalah mendapatkan taat dari hambaNya.. Kau berusaha dengan taat maka Allah akan menilainya dan memberi dengan kehendakNya bukan dengan kehendakmu. Kau terlalu mengidamkan bunga emas tersebut sehingga kau merayu-rayu dan meminta-minta pada penjual sedangkan sepatutnya kau meminta pada pengukirnya,maka jika itu hakmu akan pengukir itu beri padamu.. Kau telah meminta dengan cara dan jalan yang salah, kerana itu hatimu sentiasa gundah  gelisah.  Apakah yang melupakan kau pada janjimu untuk mencari ibumu dulu?”  Adakah hati kau sudah tidak ingin kembali pada ibumu kerana godaan-godaan sepanjang perjalanan kau ini? Apakah kau sudah bosan dan terpaut pada kecantikan Bandar ini sehingga kau tidak ingin pergi ke Bandar yang lebih besar,mewah dan lebih cantik daripada ini serta bukannya palsu seperti ini?” nada suara Shahar sedikit berubah. Mat Yong hanya mampu diam seribu bahasa,usahkan menjawab,nak bertentang mata pun dia tidak berani.
            Tersentak dengan kata-kata Shahar, Mat Yong terus tertunduk malu. Malu semalu-malunya sehingga ingin meminta maaf pun terasa malu dan tak berdaya. Hatinya sebak memikirkan janji yang pernah dimeterainya dulu. Kesal memikirkan dirinya yang terpedaya dengan kecantikan dan kemewahan palsu yang tidak kekal lama. Perlahan air matanya terjurai membasahi pipinya. Lalu Mat Yong berkata “Bantulah aku melupai keinginan palsu ini, aku kesal…”
            “Mmm, Baiklah… kau mulakan dengan istighfar memohon keampunan kepada Allah atas segala dosamu yang telah lalu…kerana hatimu hanya boleh ditenangkan olehNya. Hari ini aku  akan mengajarkanmu suatu ilmu yang jika kau beramal dengannya,maka kau akan beroleh kekuatan yang benar,jiwa dan ragamu akan bersatu dengan alam sejagat. Kau bukan sahaja boleh memahami bahasa manusia,malah tumbuhan dan haiwan pun akan berinteraksi denganmu… Tapi ingat, ilmu ini jangan disulam dengan sebarang niat yang tidak suci. Inilah juga ilmu yang akan membuka jalan yang tersembunyi selama ini dari mata zahirmu, jalan yang akan membawa kau ke Bandar bersemayamnya ibumu yang kau cari-cari itu. Namun segala-galanya adalah bergantung pada ibumu jua. Namun aku percaya,ibumu lebih merindui saat pertemuanmu dengannya daripada kerinduanmu untuk bertemu dengannya. Ibumu tidak pernah menduakan kasih sayangnya kepadamu hanya semata padamu jua. Ilmunya bermula begini… kita mulakan pembelajaran kita dengan membaca Ummul Quran Al-fatihah… (siri terakhir pada sambungan akan datang..)

Thursday, November 11, 2010

Ibu.Kau Di sini Rupanya... (Siri 13)

     
      Bandar ini penuh dengan kuntuman-kuntuman bunga berwarna warni dan wangian-wangian yang harum semerbak. Setiap benda yang disangka hina dan busuk menjadi mulia dan harum di Bandar ini. Ketika sedang lalu di sebuah taman bunga, Mat Yong terpandang dan terpegun akan sekuntum bunga hiasan yang terdapat di tamanr tersebut. Keadaan bunga itu  mengusik jiwa kependekarannya, sangat indah dipandang mata, semerbak haruman menusuk ke rongga hidung serta lembut dan licin bila disentuh. Tidak pernah dalam hidupnya melihat keindahan seperti bunga tersebut yang sangat mengasyikkan jiwanya. Daunnya emas, batangnya diperbuat dari ukiran perak dan kuntum bunganya diukir dari emas merah bertatahkan berlian.
      Sehingga terdetiklah dalam hatinya untuk memiliki dan membajai bunga tersebut. Mat Yong pun bertanya kepada tuan bunga sama ada bolehkah dia memiliki dan menyimpannya. Rupa-rupanya bukanlah Mat Yong seorang sahaja yang tertarik dengan bunga tersebut malah telah ramai musafir dan pedagang yang mengidamkannya. Lalu si tuan mengingatkan bahawa bunga itu bukanlah untuk dijual malah  sudahpun ada pemiliknya dan  si tuan menyatakan bahawa si pemiliknya akan mengambilnya setelah sampai masa yang telah ditentukan.
      Lalu Mat Yong masih tidak berpuas hati dan tetap ingin memiliki bunga tersebut kerana pada pandangannya bunga itu adalah sangat istimewa dan amat menarik hatinya untuk dimilikinya walau dengan apa cara sekalipun. Lalu didorong oleh perasaan haloba, maka ditawarkan kepada tuan tersebut dengan bayaran yang mahal, dengan janji manis untuk menjaga  dengan baik dan menyiram bunga tersebut dengan penuh kasih sayang, memeliharanya seperti menatang minyak yang penuh dan akan memastikan bunga itu sentiasa segar harumannya seperti selalu malah mengindahkan pasunya dengan hiasan yang lebih istimewa. Namun tuan kedai tetap menjawab sedemikian iaitu bunga tersebut telahpun ditentukan pemiliknya.
     Lantas Mat Yong dengan penuh kekecewaan melangkah pergi dari tempat tersebut. Sepanjang masa di Bandar tersebut Mat Yong tetap tidak dapat melelapkan matanya mengenangkan kecantikan bunga tersebut. Lalu Mat yong merintih keseorangan dan teringat akan ibunya lantas memikirkan sekiranya ada ibuku, pasti dia ada kesaktian bagi memastikan bunga idaman tersebut menjadi miliknya.
    Hampir setiap hari Mat Yong akan lalu di taman bunga tersebut dan memujanya dengan mantera-mantera dan rayuan-rayuan yang indah serta meluluhkan jiwa mendengarnya. Harapannya agar bunga tersebut akan menjadi miliknya sehinggakan beliau terlupa akan kata-kata tuan bunga tersebut bahawa bunga itu telahpun ada pemiliknya dan hanya menanti masa sahaja untuk diambil dan disimpan di dalam perhiasan pasu yang indah milik tuannya pada suatu hari nanti.
      Sehinggakan suatu hari Shahar bertemu dengan Mat Yong setelah berasa terlalu lama tidak mendengar berita Mat Yong dan memerhatikan Mat Yong bertingkahlaku dengan kelakuan yang agak pelik memuja sekuntum bunga di taman tersebut lalu bertanya; “ Apakah yang terjadi padamu? Kenapa langkahmu terhenti di sini wahai Mat Yong? Adakah kamu telah berjumpa dengan ibumu sehingga terlalu lama kamu singgah di Bandar ini?”
      Lalu dijawab “ Oh abang Shahar,lihatlah bunga ini, saya sangat terpikat dengan kilauan warna dan haruman bunga ini dan saya amat teringin untuk memilikinya,bolehkah abang membantu saya memilikinya?”
      “Sedarkah kamu bahawa telahpun tertulis di situ bahawa bunga itu sudah ada pemiliknya dan walau apa sekalipun yang kamu lakukan, bunga itu tetap akan diserahkan kepada pemiliknya” Balas Shahar dengan tenang. “Kamu kagum dengan kecantikan dan keindahan buatan bunga hiasan itu sehingga kamu singgah terlalu lama di Bandar ini, Sudah lupakah kamu akan tujuan asalmu dalam perjalanan ini? Bagaimana janjimu dulu untuk setia menyelusuri    laluan ini sehingga sampai pada ibumu? Jika kau inginkan bunga tersebut mengapa kau tidak berjumpa dengan perekanya agar boleh dibuatkan bunga yang cantik serupa itu juga atau lebih cantik dari itu?” Sambung Shahar sedikit keras. “Mungkin kau sudah lupa bahawa apa yang ada di Bandar ini semuanya palsu belaka dan kecantikan itu akan hilang dimamah usia, kilauannya akan pudar ditelan waktu serta mekarnya akan luluh dimakan masa. Sudahlah, kau teruskanlah pencarian ibumu sehingga kau bertemunya, marilah abang ajarkan kau suatu rahsia yang telah abang simpan sekian lama pada hari ini” sambung Shahar lagi.
Lalu mat Yong menunduk malu dan masih hatinya terdetik  menginginkan bunga hiasan tersebut walaupun tahu ianya palsu semata. Beliau kesal dengan dirinya yang terpikat dengan kecantikan Bandar tersebut walaupun pada mulanya dialah yang menghina penduduk di situ yang terpasung layu dengan keindahan Bandar Casanova itu. Lalu dengan nada perlahan ditanya “ Apakah rahsia tersebut wahai abang Shahar?”…… Bersambung......

Monday, November 8, 2010

Tengok Tu....



Tengok tu..
Entah kemana hilangnya malu..
Kecantikan anugerah ditonjolkan semahu..
Menarik jantina berlainan nafsu..
Seronok hingga maruah disapu..

Tengok tu..
Agama agaknya letak di siku..
Otak pun dah jadi beku..
Sebab Aurat duk  buka selalu..
Akibat jahil selalu tertipu..

Tengok tu..
Orang tegur dikata tak sebulu
Kalau dimarah kata peduli apa aku
Kubur kau bukan kubur aku
Mak ayah aku kata ikut suka mu


Tengok tu..
Mati bukan tunggu diberitahu
Esok ke lusa siapa pun tak tahu
Kat kubur lidah pun kelu
Kena sebat bertalu-talu..

Tengok tu..
Dah mati baru nak merayu
Mungkar nankir  tanya apa agamamu
Dulu suruh tutup kenapa tak mahu
Ambik kau peduli apa aku!!

IBNU HARON



Tuesday, November 2, 2010

Berudu dan Katak

Kisahnya bermula begini.... Ianya bermula di sebuah kolam.

Beberapa berudu berenang dengan gembira bersama-sama dengan katak-katak sambil menyanyi gembira. Ada seekor berudu yang sudah tumbuh sepasang kaki belakang bertemu dan terlihat seekor katak dewasa yang besar dan bunyinya mengalahkan katak-katak lain yang ada di sekitarnya termasuk bapak kepada berudu tadi. Lalu berudu tadi berkata pada berudu yang lain..

" Aku sebenarnya tak gentar dan gerun langsung dengan katak yang besar dan gagah itu kerana bapakku lebih hebat walaupun tubuhnya lebih kecil.. Ini kerana bapakku pernah berenang di sebuah kolam sakti dan aku juga mewarisi sakti bapakku apabila dilahirkan dari benihnya." kata si berudu dengan angkuh.

Si katak yang gagah tadi hanya tersenyum dan memandang dengan kasih sayang si berudu itu tadi lalu berkata," tahukah  kamu bahawa aku juga pernah berenang di kolam sakti itu?".

"Ahh,tapi kau tak sehebat bapakku.. bapakku berbadan gagah dan tangkas, malah mendapat sakti dan kegagahannya diiktiraf oleh dewa katak" jawab berudu dengan sombong. Lalu si katak yang gagah itu terus tersenyum dan diam. 

Maka berudu-berudu yang lain sangat kagum dan memuji-muji berudu yang baru tumbuh kaki itu tadi. Si katak yang gagah itu terus melompat keluar dari kolam dengan satu lompatan kuat dan hilang dari pandangan. Lalu si berudu yang baru tumbuh kaki belakang pun berkata,setakat lompat macam tu ,aku pun boleh dan splasshhhhhh.. terdengar percikan air dari si berudu itu tadi..

Di luar kolam, berudu itu tercungap-cungap menghirup udara dan akhirnya mati dalam kesombongan tanpa sempat menjadi katak dan tidak sempat melahirkan anak-anak berudu yang sihat dan berjaya menjadi katak. Tinggallah bangkai berudu yang membusuk dan langsung tidak dipedulikan oleh berudu yang lain.

P/s : Ukurlah baju di badan sendiri sebelum mengukur baju di badan katak. Berudu yang akhirnya menjadi katak, sedarlah bahawa kamu hanyalah umpan untuk dimakan ikan. Hahahahaha!

Thursday, September 9, 2010

Salam perpisahan Ramadan, Salam pertemuan Syawal

Di kesempatan ini saya bersama isteri menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika mengguris atau terguris jiwa dan perasaan semua dan mohon dihalalkan makan minum sepanjang usia perkenalan dan persahabatan dengan sahabat semua.

SELAMAT HARI RAYA IDULFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Wednesday, September 1, 2010

Bila Kau Zikir????

Selesai solat sunat witir di surau, maka jemaah pun berzikir beramai-ramai.. Ada di kalangan jemaah yang bangun dan terus keluar tanpa sempat berzikir manakala ada pula yang pergi s\ke saf belakang surau dan terus baring termasuk Landak Adan. Selesai berzikir dan berdoa,Mat Yong pun menghampiri Landak Adan sambil tersenyum kambing.

Mat Yong : Ni,nak tanya abang landak, orang lain duk zikir ramai-ramai lepas solat tadi, yang abang pulak pergi baring di belakang ni ape cerita? Abang tak zikir sama ke? ("Kena dah orang tua ni kali ni" : dalam hati Mat Yong)

Landak Adan : Abang duk zikir la masa baring tadi tu! Zikir maksudnya mengingati Allah, tempatnya dalam hati,bukan di mulut! Tadi tu kau berzikir ke sekadar melafaz kalimah zikir? Mulut sebut tapi ingatan kat juadah moreh kat luar tu!! Ni abang nak tanya,hari ni moreh makan apa? Kau mesti tau kan? Hahahahari-hari mau!

Mat Yong : (Terkedu sebab orang tua tu cakap memang betul!) Karipap! Bila la orang tua ni nak kena,asyik-asyik aku aje! Jom makan!

P/s Zikirlah ketika kamu berdiri,duduk atau baring pada bila-bila masa dan di mana sahaja dalam apa jua keadaan sekalipun....

*sumbangan idea Fakir Al-Banjari

Thursday, August 26, 2010

Layak Zakat ke?

Selesai solat sunat Rawatib,Landak Adan terus menyambung zikirnya sementara menanti ketibaan waktu Isyak. Mat Yong kembali menghampiri Landak Adan dan memulakan perbualan.

Mat Yong : Abang Landak, nak tanya sikit la. Saya ni kan dah kerja, jadi saya nak tahu layak ke saya ni zakat? Apa syarat layak zakat ye?

Landak Adan : Zakat ni terbahagi kepada beberapa jenis iaitu zakat pendapatan, zakat simpanan,zakat emas dan perak, zakat perniagaan, ternakan, tanaman dan harta rikaz selain zakat fitrah yang wajib. Zakat dikenakan apabila wang pendapatan kita dalam setahun hijrah yakni haul mencapai kadar bersamaan 85 gram emas semasa kecuali zakat ternakan,rikaz dan tanaman.

Mat Yong : 85 gram emas? Macam mana pula cara kiranya? Takkan nak derma 85 gram emas? banyak tuu!

Landak Adan : Hahaha.. Dengar biar abih.. bukan zakat sebanyak 85 gram. Maksudnya lebihan dari perbelanjaan kita yang dibenarkan syarak dalam tempoh setahun mencapai uruf iaitu bersamaan kadar 85 gram emas, maka kita akan dikenakan zakat sebanyak 2.5% dari lebihan tersebut.

Mat Yong : OoOo... Jadi maksudnya,katakan gaji saya 3000 sebulan, setahun 36,000. Tolak perbelanjaan saya yang dibenarkan syarak,katakan masih ada baki lebihan 11,000, dan uruf ketika itu 10,000, maka saya kena zakat 2.5% dari 11,000 tadi la? Macam mana nak tahu perbelanjaan yang dibenarkan syarak?

Landak Adan : Yaaa..pandai punn! Perbelanjaan yang dibenarkan syarak seperti rumah, kenderaan, pakaian, makan minum, tanggungan anak-anak dan sebagainya dan boleh dirujuk pada pusat zakat akan nilainya. Ada 3 kaedah pengiraan. 1 kita kira langsam tanpa penolakan. Kaedah 2 kita kira dengan tolakan yang ditetapkan pusat zakat nilainya dan kaedah 3 kita tolak nilai sebenar perbelanjaan kita, tapi digalakkan guna kaedah 2.

Mat Yong : kalau saya ada 2 kereta?

Landak Adan : Kita kira 1 sahaja. Dua tu dah jadi nafsuuu! Tapi kalau ada 2 bini kena kira dua-dua sekali! yahuuu! hahaha!

Mat Yong : hahahaha!Maknanya saya boleh masukkan nilai sebenar setiap satu perbelanjaan kita la ye.. Kalau macam tu memang tiada lebihan la setiap tahun,nak makan sebulan pun tak cukup!

Landak Adan : Yaaa..memang benar tu! Maknanya sepanjang hidup tak payah bayar zakat la. Kita belanja je ikut nafsu kita. Kita makan banyak, beli pakaian mahal-mahal, beli kereta mahal, rumah besar,bini sampai 4, baru tak kena zakat! Ni abang nak tanya, kau tanya ni sebab nak bayar zakat ke atau sebab nak cari jalan supaya tak payah bayar zakat???

Mat Yong : Kena lagi aku....Yela,saya nak bayor la ni. Saya guna kaedah 2. Supaya harta saya berkat,InsyaAllah.

P/s Layak zakat ke? Layak kalau korang nak bayar,tak layak kalau korang tak nak bayar!! Itu pun mau tanya ke? Soalannya nak zakat ke tak nak? 

Tuesday, August 24, 2010

Kau Sembah Tuhan Lain Ke?

Setelah selesai solat maghrib berjemaah, maka jemaah pun bangun berbondong-bondong. Ada yang solat sunat rawatib, ada yang berzikir, ada yang membaca Al-Quran dan ada yang terus keluar. Landak Adan tidak terus bangun solat sunat, dia berzikir sambil memerhatikan sahabatnya Mat Yong solat sunat. Selesai solat sunat,Landak Adan pun menghampiri Mat Yong.

Landak Adan : Asslamualaikum... Kau sembahyang apa tadi? Cepatnya siap.

Mat Yong      : Waalaikumsalam... Oh Abang Landak.. Sembahyang sunat rawatib selepas maghrib la. Abang tak sembahyang sunat ke? Kalau sembahyang fardhu lama la sikit, yang ini sunat je,tu yang cepat sikit.

Landak Adan : Oh begitu...Sekejap lagi abang solat la. Nak tanya ni,  masa sembahyang fardhu, dengan sembahyang sunat tadi.. KAU SEMBAH TUHAN  LAIN KE? 

Mat Yong     : (tergamam) 'Kena dah aku ni...'


P/s : Kenapa nak bezakan sembahyang fardhu dan sunat? Kan kita sembah Allah yang satu.. Jagalah solat kita sesempurna mungkin walaupun solat sunat. 

Thursday, August 5, 2010

5 sen sahaja...

Minyak naik lagi!!
Sana sini dengar orang duk merungut!
Apasal minyak dikurangkan subsidi?
"Untuk elak kerajaan semput"...

Minyak naik lagi!!
Harga gula naik 25 sen sekilo!!
Abih camana dengan harga kopi??
"Takpe, kita ganti dengan milo"...

Minyak naik lagi!!
Lepas ni jalan kaki je..
Teruk la datuk macam ni!!
"Takpe, 5 sen aje"...


5 sen seliter.

RM 10 = ~ 5 liter = 5x 0.05 = 25 sen 
RM 20 = ~ 10 liter = 10 x 0.05 = 50 sen.
RM 50 = ~ 25 liter = 25 x 0.05 = 1.25 sen
RM 100 = ~ 50 liter = 50 x 0.05 = 2.50 sen.

Gula naik 25 sen sekilo = satu bulan x 4 paket ( 25 sen) = RM 1.00 kenaikan

Minyak naik 5 sen seliter = satu bulan = RM 10 ( 25 sen ) x 30 hari = RM 7.50 sen kenaikan.

Bajet RM 400 minyak sebulan = ~200 liter x 5 sen = RM 10.00 kenaikan.

"Takpe,naik 5 sen aje, tak membebankan rakyat..."





Wednesday, July 7, 2010

Ia Semakin Hampir..

Sesaat demi sesaat..
Seminit demi seminit..
Sejam demi sejam..
Sehari demi sehari..
Seminggu demi seminggu..
Sebulan demi sebulan..
Setahun demi setahun..

Ia sentiasa mengikuti rapat di sebalik bayang..
Rapatnya dekat sehingga samar memandang...
Menunggu masa menunjukkan belang..
Kadang menarik seumpama benang..
Selalunya rentap penuh garang..
Ia semakin hampir tak dapat dihalang

Entah mana entahkan bila..
Sedar-sedar Ia di tengkuk sahaja..
Tak kira sedih tak kira gembira..
Tak kira gering tak kira sejahtera..
Tak kira muda tak kira tua..
Tak kira lapang tak kira sibuk sentiasa..
Ia semakin hampir tak peduli apa..

Sedang sibuk mengumpul harta..
Sedang payah menyiapkan kerja..
Sedang khusyuk menunduk kepala..
Sedang asyik menyantap selera..
Sedang lalai bermain dunia..
Sedang enak melayari rumahtangga..
Ia semakin hampir bila kau tak bersedia...

IBNU HARON 

Tuesday, June 29, 2010

JUDI DAN BABI

Si Anak : Kenapa ayah main judi? bukankah judi itu haram di sisi agama Islam? Kenapa tiada yang halang ayah berjudi?

Si Ayah :  Anakku.. kau masih kecil dan belum mengerti. Judi yang ayah main ini adalah judi berlesen. Kita akan kena tangkap jika main judi yang tidak berlesen. Takkan kita nak tengok orang lain saja yang kaya?

Si Anak : ooOooooo...... 

Beberapa hari kemudian.

Si Ayah : Apa yang kamu makan tu? Bagi ayah sedikit.

Si Anak : Stik Babi ayah, jual kat depan tu tadi.

Si Ayah: Apa???!!!! Kau makan babi? babi tu HARAM di SISI ISLAM! Berdosa kau makan! 

Si Anak : Kenapa pula ayah? Kat kedai tu takde pun tulis " STIK BABI HARAM DI SISI UMAT ISLAM". OoOoooOo, saya faham, mesti kerana orang yang jual STIK BABI ni takde lesen kot! Baiklah, lain kali saya akan beli di kedai yang ada lesen jual BABI.

Si Ayah:  @#$@#$@$%#%&$&%^......


P/S : Apa beza judi dan babi ye?

Saturday, June 26, 2010

INGIN HIDUP SELESA?

Kau ingin hidup selesa?
mudah saja..
kau kunci bibirmu sekedap-kedapnya
jari-jemari kau kakukan dari menulis berita
kakimu kau goyangkan sepuas-puasnya
kepalamu kau gunakan untuk mengangguk saja

Masih ingin hidup selesa?
di sekeliling kau buat tak tahu saja
janji kau boleh makan,minum,buang dan bersenyawa
Hal orang kau jangan pedulikan semua
cukup bulan kau baca penyata
selagi ada duit, kau cukup bahagia

Nak hidup selesa lagi?
Perjuangan apa kau buang semua
membazir masa pertaruh nyawa
silap dicatur buruk padahnya
orang lain kau biarkan saja
pujian tak dapat badan celaka
tunggu saja sampai habis nyawa

IBNU HARON

Friday, June 25, 2010

KEPINGIN

Di situ 
Jauhnya sekaki bambu
Panjangnya sebatang tubuh kaku
Lebarnya seluas sedepa aku

Di situ
Segala kepingin diluah selalu
Buat memenuh kehendak nafsu
Pabila mimpi tak datang selalu

Di situ
Payahnya lalu Tuhan yang tahu
Menghina kepala tidak selalu
Gelora kebobrokan datang bertalu

Di situ
Tiada diberi kepingin yang perlu
Merajuk hati tanda tak setuju 
Terbentuk kejahilan angkara tak tahu

Di situ
 Sentiasa Dia menunggu
Kepingin hamba merintih pilu
Tidak berdaya tiada mampu

IBNU HARON

Tuesday, May 25, 2010

Ibu,Kau di sini rupanya.. (siri 12)


Kebanyakan penduduk Bandar tersebut berwajah kerbau dan berbadan manusia. Ditanya oleh Mat Yong akan saudaranya Landak Adan akan mengapa mereka berkeadaan begitu. Nampaknya seperti normal, berkeadaan seperti biasa. Bercakap dalam bahasa manusia, makan seperti manusia lain, perlakuan juga seperti hamba Allah lain, namun aneh sungguh rupa mereka.
“Mereka asalnya adalah manusia biasa seperti kita juga. Namun mereka telah mengalami satu proses perubahan yang agak panjang sehinggakan wajah mereka berubah sama sekali” terang Landak Adan apabila diajukan soalan kepadanya.
“Proses perubahan yang bagaimana? Tak pernah pula ku lihat di kampung kita di Tualang Tujuh. Anehnya dunia luar…..” soal Mat Yong inginkan penjelasan.
“Mereka sebenarnya juga pernah belajar ilmu kependekaran dengan ibumu. Ada yang telah belajar sehingga ke peringkat yang agak tinggi. Mereka mengamalkan segala ilmu kependekaran dan amalan-amalan yang telah diperturunkan ibumu. Namun setelah masa menelan usia mereka, anak cucu mereka semakin kurang berminat dengan segala ilmu dan amalan kependekaran tersebut sehingga mereka hanya mengamalkan amalan-amalan yang dirasakan memberi keuntungan duniawi kepada mereka semata-mata. Mereka mengambil sekerat dan meninggalkan sekerat yang lain demi untuk memuaskan nafsu jasad dan nafsu rohani mereka sahaja. Disebabkan ilmu yang diamalkan tidak menyeluruh dan sempurna, maka jasad mereka mulai berubah sehingga menjadi begitu..” panjang lebar penerangan Landak Adan.
“Oh begitu.. anehnya dunia luar” getus Mat Yong dalam hatinya. Barulah dia tahu akibatnya jika tidak mengamalkan amalan-amalan ibunya secara menyeluruh. Risau pula hatinya apabila mengenangkan keadaan dirinya yang kerap terlupa dan terlalai untuk mengamalkan amalan kependekaran warisan ibunya secara lengkap dan sempurna. Mungkinkah wajahnya atau keturunannya juga berubah wajah seperti mereka tersebut.  Itulah antara pengalaman yang tidak pernah akan dilupakannya.
Pernah sekali Mat Yong berada agak lama di sebuah Bandar yang dihiasi dengan wajah dan binaan bangunan yang cantik-cantik. Pndanglah ke sudut manapun semuanya dirasakan cantik akan rupa binaan dan perhiasan penduduk di sana. Namun rupanya tempat itu adalah seolah-olah berada dalam fatamorgana. Cantik dilihat,namun jika dilihat dengan lebih teliti dan dekat, rupanya segalanya kecantikan dan wajah itu palsu kebanyakannya. Bandar tersebut dikenali dengan Bandar Casanova. (bersambung…)

Saturday, April 17, 2010

Ibu,Kau Di Sini Rupanya.... (Siri 11)


Kini telahpun genap 12 purnama semenjak langkahan pertama Mat Yong ketika meninggalkan kampung halamannya dahulu. Telah berbagai Bandar dan dugaan yang dilaluinya sepanjang perjalanan ini. Teringat pada permulaan langkahnya meninggalkan kampung Tualang 7 dahulu, dirasakan itulah Bandar yang paling mewah, paling luas dan syurga baginya. Mujurlah kedua-dua sahabatnya membantunya menunjukkan arah perjalanan untuk mencari ibunya kerana jika tidak pastinya Mat Yong akan mati bersama kesombongan dan kebodohannya tidak mengenali alam yang luas ini. Berjalan melihat keindahan dan kecantikan alam ciptaan Allah Yang Maha Indah dan Maha Lembut serta melihat kejelikkan manusia yang tunduk dan menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya .
Pernah beliau singgah di sebuah Bandar yang penduduknya tuli, matanya buta, mulut mereka bisu serta kaki dan tangan mereka lumpuh. Bandar itu dipenuhi dengan  limpahan  cahaya yang bergemerlapan dan penuh dengan kemewahan-kemewahan dunia fana.
Mereka menjadi tuli kerana telinga mereka mendengar hadis nabi dan ayat Al-Quran, namun mereka melekehkan dan menolaknya. Mereka buta kerana mereka melihat kemungkaran dan kemaksiatan di hadapan mata mereka, namun mereka tidak  mempedulikannya lantaran terlalu sibuk mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Manakala mulut mereka bisu kerana tidak menegur anak-anak mereka yang dibiarkan leka berkeliaran di pusat-pusat hiburan yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Mereka juga tidak menasihati Isteri-isteri mereka yang dibiarkan bergaul dan membuka perhiasannya kepada selain mahram mereka. Malahan mereka menjadi lumpuh kerana tidak menggunakan kaki dan tangan mereka untuk menghalang dan mencegah kezaliman serta ketidakadilan yang berlaku di Bandar mereka.
Penduduknya tidak ubah seperti haiwan-haiwan ternak yang berkeliaran mencari makan, tidur dan mengawan sahaja sepanjang kehidupan mereka. Hanya menanti masa urat leher mereka disembelih oleh Tuan mereka untuk menjadi hidangan perut yang kelaparan, dimasak, dibakar, direbus atau digoreng oleh limpahan api yang marak mengikut kehendak dan selera Tuan mereka sesuai dengan seleranya.
Mereka inilah orang yang tertipu dengan angan-angan kebodohan mereka, mengharapkan syurga dengan amal buruk dan kesombongan, menaburkan bibit tanaman yang buruk dan rosak,  di atas batas tanaman yang tidak  subur, dengan tidak disirami air, tidak diberi baja malahan tidak menghapuskan serangga yang merosakkan lalu mengharapkan hasil tuaian yang baik dan subur. 

Pernah juga Mat Yong singgah di sebuah bandar yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan dan perkara-perkara aneh. Antara yang menjadi perhatian baginya adalah seekor haiwan yang sangat aneh rupanya. Bahagian bawahnya saling tak ubah seperti kaki manusia, tegap dan gagah, manakala bahagian atasnya pula seperti kerbau dan bertanduk dua berkepanjangan 3 hasta, bengkok ke luar dan sedikit berpintal di hujungnya.  (Bersambung…..)

Tuesday, April 6, 2010

257000

Bila kita sebut 257,000 maka akan terbayang pada kita suatu jumlah yang banyak..
Cuba bayangkan jika anda memperoleh RM 257,000 di tangan anda. Wauu!!
Cuba Bayangkan jika anda berjaya mengumpul pengikut seramai 257,000 orang.

Pasti akan digeruni oleh manusia-manusia lain. Jika anda seorang pemimpin batalion tentera, maka tentera seramai itu mungkin membolehkan anda menawan sesebuah negara sekiranya dilengkapi senjata yang canggih dan strategi yang berkesan.
Itu contoh untuk menunjukkan banyaknya bilangan 257,000 tersebut.
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Maknanya itulah jumlah anak "halal" yang didaftarkan mengikut perlembagaan negara tidak termasuk bayi-bayi yang menjadi ratahan binatang-binatang liar dan serangga-serangga lapar yang terdapat sejak dulu, kini dan harap janganlah selamanya..

Baru-baru ini, di mesyuarat PIBG di sebuah sekolah, ketika ceramah keibubapaan, penceramah memberitahu bahawa di rumah anak yatim di Kuantan, seramai 11 orang dari 30 lebih jika tak silap yang menghidap HIV malahan ada di antara mereka yang langsung tidak pernah mengenali ibu bapa mereka malah sanak saudara mereka. Apalah dosa yang dilakukan oleh anak-anak ini sehingga mereka dipaksa melalui sebuah pengalaman hidup yang sangat jerih dan pahit.

Daripada Maimunah RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
لا تزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا فإذا فشا فيهم ولد الزنا فأوشك أن يعمهم الله بعذاب
“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri - 3/265: isnadnya hasan) - http://sawanih.blogspot.com/2010/01/akhir-zaman-dan-bahaya-zina-penzina.html 


Apakah punca yang menjadi duri dalam daging sehingga penyakit berzina ini membarah dalam masyarakat Islam kita pada hari ini? Kurangnya ilmu agama? kurangnya ulamak atau guru-guru agama? kurangnya kuliah agama sehingga mereka jahil mengenai agama? Atau kerana manusia belum sempurna imannya untuk percaya bahawa hukum Allah lah yang mampu untuk mengawalnya?