Tuesday, November 16, 2010

Kenapa Sembah Batu?


Selepas solat Maghrib,maka bertakbirlah para jemaah mengagungkan Allah Azzawajalla menandakan tibanya Hari Raya Qurban.. Lalu selepas membaca doa, Mat Yong menghampiri Landak Adan perlahan-lahan lalu terus baring disisinya. Selang beberapa ketika...

Mat Yong       : Tengah berzikir ke bang? khusyuk benor nampak tu!

Landak Adan : Biasalah kita ni hamba,lemah,nak solat 24 jam tak larat maka sebab itulah nabi kata ibadah yang paling mudah adalah berzikir.. Kamu tiba-tiba je baring sebelah abang ni kenapa? mesti ada udang di sebalik mee ni!

Mat Yong : Hehe... abang Landak ni memang tinggi ilmunya,tau aje ye.. Ni bang,saya nak tanya, Allah ni ada kat dalam kaabah ke? Kenapa semua manusia menuju ke Mekah dan menyembah kaabah? Kenapa nak sembah batu tu? Kan ke itu rumah Allah,Allah pun perlu rumah ke?

Landak Adan : Bukan begitu...Allah itu tidak sama dengan satupun makhluk.. Dia tidak bertempat seperti bertempatnya makhluk malah luar dari akal manusia yang dangkal ini. Allah ini ghaib pada pandangan manusia,tiada seorangpun yang pernah melihat Allah secara nyata termasuk nabi Muhammad kecuali kat akhirat nanti. Kalau tak nampak macammana kau nak sembah? jawab! jawab!

Mat Yong : Laaa..kita sembah je la dengan menundukkan hati,dengan membayangkan seolah2 kita berdepan dengan Allah atau seolah-olah Alllah melihat kita. Betul tak?

Landak Adan : Pandai pun! Jadi kaabah itu sebagai panduan atau tumpuan untuk kita menyembah Allah, sebagai tempat menundukkan anggota zahir, jadi semua orang menyembah ke arah yang satu yakni kaabah namun hakikatnya hati kita menyembah Allah. Ini kerana kita tak nampak Allah namun kita nak sembah Allah,nak cari Allah, tapi di mana? Bagaimana nak tunjuk kita cintakan Allah?

Mat Yong : Saya faham!!! Jadinya Allah zahirkan satu tempat yang suci yakni kaabah supaya manusia ada tempat nak tuju dan sembah serta berkorban harta dan nyawa iaitu menunaikan haji untuk menunjukkan kita cinta dan rindukan padaNya,betul tak? Jadinya kita tak sembah batu,kita tak kata batu tu ada kuasa apa-apa atau Allah ada dalam kaabah dan perlukan rumah, kita cuma menjadikan kaabah sebagai tempat tujuan untuk menunjukkan ketaatan dan supaya manusia ada tempat untuk dituju. Yahuuuuuuuu!!!

Landak Adan : yahuuuuuuuu!! (tersenyum)

Lantas Mat Yong dan Landak Adan terus menjerit-jerit 'yahuuuuuuu'!

P/s Kenapa berkorban sedangkan Allah tak perlukan pada korban? Kerana yang Allah nilai usaha manusia, bukan Allah perlukan usaha tu,cuma manusia yang perlu usaha untuk dapat redha Allah..

Monday, November 15, 2010

Ibu.Kau Di sini Rupanya... (Siri 14)



            Lalu Shahar mengajaknya solat Maghrib dahulu kerana haripun telah beransur kelam.  Mat Yong lalu mengikuti rapat disisi dan pulang dengan keadaan perasaannya  bercampur baur. Beliau sebenarnya masih mengharapkan untuk memiliki bunga yang menjadi idaman setiap manusia yang melantas di taman tersebut,namun apakan daya, dia sedar dia tiada kuasa untuk menentukan dengan kehendak hatinya kerana kehendak pengukir sentiasa mengatasi kehendak pembeli.

            Pengukir tahu mengenai pemilik yang sesuai untuk menyimpan bunga ukirannya. Setiap helai daun, setiap kelopak bunga setiap inci panjang tangkainya telahpun diukur molek benar dengan kehendak dan kesesuaian bakal pemiliknya. Sebab itulah orang lain tidak sesuai untuk menggunakannya. Seperti juga senjata Melayu yang ditempah khas untuk seseorang, maka pengukir akan mengukur setiap inci panjang dan lebar yang sesuai untuk si pemakai supaya tidak akan memakan diri sendiri di kemudian hari. Jangan nanti harapkan pagar,pagar pula yang memusnahkan padi akibat rapuhnya pagar yag didirikan itu tadi.

     Kini Mat Yong telah mula memahami  bahawa walaupun sehebat manapun ilmu kependekarannya, seutuh manapun kasih dan sukanya akan bunga tersebut, sedalam mana keinginannya untuk memilikinya, sekuat mana keteguhannya berusaha mendapatkannya,namun takdir lebih mengatasi segala-galanya. Maka benarkah takdir menentukan segala-galanya? Jika begitu mengapa perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu? Mengapa perlu berusaha untuk memiliki sesuatu seperti harta, ilmu dan sebagainya??!!! Tidak bolehkah sekadar berserah kepada takdir jika takdir yang memiliki segala-galanya? Terhambur persoalan demi persoalan dalam hati Mat Yong. Solatnya pada malam itu berimamkan Shahar menjadi tidak khusyuk dan diapun tidak tahu apa yang dibaca sepanjang solatnya tadi. Sedar-sedar Shahar sudahpun memberi salam.

       Selesai memberi salam, shahar pun berpaling menghadap mat yong dan menemukan lututnya dengan lutut Mat Yong. Direnungnya Mata Mat Yong dengan renungan yang tajam. “apa pula la orang tua ni nak” Detik hati Mat Yong sambil tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
            “Tahukan kamu apa yang menjadi hakmu? Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulut Shahar.  “Hakmu adalah mendapat rezeki yang ditentukan oleh Allah… Maka apa pula hak Allah?” sambung Shahar lagi walaupun soalan pertamanya belumpun sempat dijawab Mat Yong. “hak Allah adalah mendapatkan taat dari hambaNya.. Kau berusaha dengan taat maka Allah akan menilainya dan memberi dengan kehendakNya bukan dengan kehendakmu. Kau terlalu mengidamkan bunga emas tersebut sehingga kau merayu-rayu dan meminta-minta pada penjual sedangkan sepatutnya kau meminta pada pengukirnya,maka jika itu hakmu akan pengukir itu beri padamu.. Kau telah meminta dengan cara dan jalan yang salah, kerana itu hatimu sentiasa gundah  gelisah.  Apakah yang melupakan kau pada janjimu untuk mencari ibumu dulu?”  Adakah hati kau sudah tidak ingin kembali pada ibumu kerana godaan-godaan sepanjang perjalanan kau ini? Apakah kau sudah bosan dan terpaut pada kecantikan Bandar ini sehingga kau tidak ingin pergi ke Bandar yang lebih besar,mewah dan lebih cantik daripada ini serta bukannya palsu seperti ini?” nada suara Shahar sedikit berubah. Mat Yong hanya mampu diam seribu bahasa,usahkan menjawab,nak bertentang mata pun dia tidak berani.
            Tersentak dengan kata-kata Shahar, Mat Yong terus tertunduk malu. Malu semalu-malunya sehingga ingin meminta maaf pun terasa malu dan tak berdaya. Hatinya sebak memikirkan janji yang pernah dimeterainya dulu. Kesal memikirkan dirinya yang terpedaya dengan kecantikan dan kemewahan palsu yang tidak kekal lama. Perlahan air matanya terjurai membasahi pipinya. Lalu Mat Yong berkata “Bantulah aku melupai keinginan palsu ini, aku kesal…”
            “Mmm, Baiklah… kau mulakan dengan istighfar memohon keampunan kepada Allah atas segala dosamu yang telah lalu…kerana hatimu hanya boleh ditenangkan olehNya. Hari ini aku  akan mengajarkanmu suatu ilmu yang jika kau beramal dengannya,maka kau akan beroleh kekuatan yang benar,jiwa dan ragamu akan bersatu dengan alam sejagat. Kau bukan sahaja boleh memahami bahasa manusia,malah tumbuhan dan haiwan pun akan berinteraksi denganmu… Tapi ingat, ilmu ini jangan disulam dengan sebarang niat yang tidak suci. Inilah juga ilmu yang akan membuka jalan yang tersembunyi selama ini dari mata zahirmu, jalan yang akan membawa kau ke Bandar bersemayamnya ibumu yang kau cari-cari itu. Namun segala-galanya adalah bergantung pada ibumu jua. Namun aku percaya,ibumu lebih merindui saat pertemuanmu dengannya daripada kerinduanmu untuk bertemu dengannya. Ibumu tidak pernah menduakan kasih sayangnya kepadamu hanya semata padamu jua. Ilmunya bermula begini… kita mulakan pembelajaran kita dengan membaca Ummul Quran Al-fatihah… (siri terakhir pada sambungan akan datang..)

Thursday, November 11, 2010

Ibu.Kau Di sini Rupanya... (Siri 13)

     
      Bandar ini penuh dengan kuntuman-kuntuman bunga berwarna warni dan wangian-wangian yang harum semerbak. Setiap benda yang disangka hina dan busuk menjadi mulia dan harum di Bandar ini. Ketika sedang lalu di sebuah taman bunga, Mat Yong terpandang dan terpegun akan sekuntum bunga hiasan yang terdapat di tamanr tersebut. Keadaan bunga itu  mengusik jiwa kependekarannya, sangat indah dipandang mata, semerbak haruman menusuk ke rongga hidung serta lembut dan licin bila disentuh. Tidak pernah dalam hidupnya melihat keindahan seperti bunga tersebut yang sangat mengasyikkan jiwanya. Daunnya emas, batangnya diperbuat dari ukiran perak dan kuntum bunganya diukir dari emas merah bertatahkan berlian.
      Sehingga terdetiklah dalam hatinya untuk memiliki dan membajai bunga tersebut. Mat Yong pun bertanya kepada tuan bunga sama ada bolehkah dia memiliki dan menyimpannya. Rupa-rupanya bukanlah Mat Yong seorang sahaja yang tertarik dengan bunga tersebut malah telah ramai musafir dan pedagang yang mengidamkannya. Lalu si tuan mengingatkan bahawa bunga itu bukanlah untuk dijual malah  sudahpun ada pemiliknya dan  si tuan menyatakan bahawa si pemiliknya akan mengambilnya setelah sampai masa yang telah ditentukan.
      Lalu Mat Yong masih tidak berpuas hati dan tetap ingin memiliki bunga tersebut kerana pada pandangannya bunga itu adalah sangat istimewa dan amat menarik hatinya untuk dimilikinya walau dengan apa cara sekalipun. Lalu didorong oleh perasaan haloba, maka ditawarkan kepada tuan tersebut dengan bayaran yang mahal, dengan janji manis untuk menjaga  dengan baik dan menyiram bunga tersebut dengan penuh kasih sayang, memeliharanya seperti menatang minyak yang penuh dan akan memastikan bunga itu sentiasa segar harumannya seperti selalu malah mengindahkan pasunya dengan hiasan yang lebih istimewa. Namun tuan kedai tetap menjawab sedemikian iaitu bunga tersebut telahpun ditentukan pemiliknya.
     Lantas Mat Yong dengan penuh kekecewaan melangkah pergi dari tempat tersebut. Sepanjang masa di Bandar tersebut Mat Yong tetap tidak dapat melelapkan matanya mengenangkan kecantikan bunga tersebut. Lalu Mat yong merintih keseorangan dan teringat akan ibunya lantas memikirkan sekiranya ada ibuku, pasti dia ada kesaktian bagi memastikan bunga idaman tersebut menjadi miliknya.
    Hampir setiap hari Mat Yong akan lalu di taman bunga tersebut dan memujanya dengan mantera-mantera dan rayuan-rayuan yang indah serta meluluhkan jiwa mendengarnya. Harapannya agar bunga tersebut akan menjadi miliknya sehinggakan beliau terlupa akan kata-kata tuan bunga tersebut bahawa bunga itu telahpun ada pemiliknya dan hanya menanti masa sahaja untuk diambil dan disimpan di dalam perhiasan pasu yang indah milik tuannya pada suatu hari nanti.
      Sehinggakan suatu hari Shahar bertemu dengan Mat Yong setelah berasa terlalu lama tidak mendengar berita Mat Yong dan memerhatikan Mat Yong bertingkahlaku dengan kelakuan yang agak pelik memuja sekuntum bunga di taman tersebut lalu bertanya; “ Apakah yang terjadi padamu? Kenapa langkahmu terhenti di sini wahai Mat Yong? Adakah kamu telah berjumpa dengan ibumu sehingga terlalu lama kamu singgah di Bandar ini?”
      Lalu dijawab “ Oh abang Shahar,lihatlah bunga ini, saya sangat terpikat dengan kilauan warna dan haruman bunga ini dan saya amat teringin untuk memilikinya,bolehkah abang membantu saya memilikinya?”
      “Sedarkah kamu bahawa telahpun tertulis di situ bahawa bunga itu sudah ada pemiliknya dan walau apa sekalipun yang kamu lakukan, bunga itu tetap akan diserahkan kepada pemiliknya” Balas Shahar dengan tenang. “Kamu kagum dengan kecantikan dan keindahan buatan bunga hiasan itu sehingga kamu singgah terlalu lama di Bandar ini, Sudah lupakah kamu akan tujuan asalmu dalam perjalanan ini? Bagaimana janjimu dulu untuk setia menyelusuri    laluan ini sehingga sampai pada ibumu? Jika kau inginkan bunga tersebut mengapa kau tidak berjumpa dengan perekanya agar boleh dibuatkan bunga yang cantik serupa itu juga atau lebih cantik dari itu?” Sambung Shahar sedikit keras. “Mungkin kau sudah lupa bahawa apa yang ada di Bandar ini semuanya palsu belaka dan kecantikan itu akan hilang dimamah usia, kilauannya akan pudar ditelan waktu serta mekarnya akan luluh dimakan masa. Sudahlah, kau teruskanlah pencarian ibumu sehingga kau bertemunya, marilah abang ajarkan kau suatu rahsia yang telah abang simpan sekian lama pada hari ini” sambung Shahar lagi.
Lalu mat Yong menunduk malu dan masih hatinya terdetik  menginginkan bunga hiasan tersebut walaupun tahu ianya palsu semata. Beliau kesal dengan dirinya yang terpikat dengan kecantikan Bandar tersebut walaupun pada mulanya dialah yang menghina penduduk di situ yang terpasung layu dengan keindahan Bandar Casanova itu. Lalu dengan nada perlahan ditanya “ Apakah rahsia tersebut wahai abang Shahar?”…… Bersambung......

Monday, November 8, 2010

Tengok Tu....



Tengok tu..
Entah kemana hilangnya malu..
Kecantikan anugerah ditonjolkan semahu..
Menarik jantina berlainan nafsu..
Seronok hingga maruah disapu..

Tengok tu..
Agama agaknya letak di siku..
Otak pun dah jadi beku..
Sebab Aurat duk  buka selalu..
Akibat jahil selalu tertipu..

Tengok tu..
Orang tegur dikata tak sebulu
Kalau dimarah kata peduli apa aku
Kubur kau bukan kubur aku
Mak ayah aku kata ikut suka mu


Tengok tu..
Mati bukan tunggu diberitahu
Esok ke lusa siapa pun tak tahu
Kat kubur lidah pun kelu
Kena sebat bertalu-talu..

Tengok tu..
Dah mati baru nak merayu
Mungkar nankir  tanya apa agamamu
Dulu suruh tutup kenapa tak mahu
Ambik kau peduli apa aku!!

IBNU HARON



Tuesday, November 2, 2010

Berudu dan Katak

Kisahnya bermula begini.... Ianya bermula di sebuah kolam.

Beberapa berudu berenang dengan gembira bersama-sama dengan katak-katak sambil menyanyi gembira. Ada seekor berudu yang sudah tumbuh sepasang kaki belakang bertemu dan terlihat seekor katak dewasa yang besar dan bunyinya mengalahkan katak-katak lain yang ada di sekitarnya termasuk bapak kepada berudu tadi. Lalu berudu tadi berkata pada berudu yang lain..

" Aku sebenarnya tak gentar dan gerun langsung dengan katak yang besar dan gagah itu kerana bapakku lebih hebat walaupun tubuhnya lebih kecil.. Ini kerana bapakku pernah berenang di sebuah kolam sakti dan aku juga mewarisi sakti bapakku apabila dilahirkan dari benihnya." kata si berudu dengan angkuh.

Si katak yang gagah tadi hanya tersenyum dan memandang dengan kasih sayang si berudu itu tadi lalu berkata," tahukah  kamu bahawa aku juga pernah berenang di kolam sakti itu?".

"Ahh,tapi kau tak sehebat bapakku.. bapakku berbadan gagah dan tangkas, malah mendapat sakti dan kegagahannya diiktiraf oleh dewa katak" jawab berudu dengan sombong. Lalu si katak yang gagah itu terus tersenyum dan diam. 

Maka berudu-berudu yang lain sangat kagum dan memuji-muji berudu yang baru tumbuh kaki itu tadi. Si katak yang gagah itu terus melompat keluar dari kolam dengan satu lompatan kuat dan hilang dari pandangan. Lalu si berudu yang baru tumbuh kaki belakang pun berkata,setakat lompat macam tu ,aku pun boleh dan splasshhhhhh.. terdengar percikan air dari si berudu itu tadi..

Di luar kolam, berudu itu tercungap-cungap menghirup udara dan akhirnya mati dalam kesombongan tanpa sempat menjadi katak dan tidak sempat melahirkan anak-anak berudu yang sihat dan berjaya menjadi katak. Tinggallah bangkai berudu yang membusuk dan langsung tidak dipedulikan oleh berudu yang lain.

P/s : Ukurlah baju di badan sendiri sebelum mengukur baju di badan katak. Berudu yang akhirnya menjadi katak, sedarlah bahawa kamu hanyalah umpan untuk dimakan ikan. Hahahahaha!