Tuesday, May 25, 2010

Ibu,Kau di sini rupanya.. (siri 12)


Kebanyakan penduduk Bandar tersebut berwajah kerbau dan berbadan manusia. Ditanya oleh Mat Yong akan saudaranya Landak Adan akan mengapa mereka berkeadaan begitu. Nampaknya seperti normal, berkeadaan seperti biasa. Bercakap dalam bahasa manusia, makan seperti manusia lain, perlakuan juga seperti hamba Allah lain, namun aneh sungguh rupa mereka.
“Mereka asalnya adalah manusia biasa seperti kita juga. Namun mereka telah mengalami satu proses perubahan yang agak panjang sehinggakan wajah mereka berubah sama sekali” terang Landak Adan apabila diajukan soalan kepadanya.
“Proses perubahan yang bagaimana? Tak pernah pula ku lihat di kampung kita di Tualang Tujuh. Anehnya dunia luar…..” soal Mat Yong inginkan penjelasan.
“Mereka sebenarnya juga pernah belajar ilmu kependekaran dengan ibumu. Ada yang telah belajar sehingga ke peringkat yang agak tinggi. Mereka mengamalkan segala ilmu kependekaran dan amalan-amalan yang telah diperturunkan ibumu. Namun setelah masa menelan usia mereka, anak cucu mereka semakin kurang berminat dengan segala ilmu dan amalan kependekaran tersebut sehingga mereka hanya mengamalkan amalan-amalan yang dirasakan memberi keuntungan duniawi kepada mereka semata-mata. Mereka mengambil sekerat dan meninggalkan sekerat yang lain demi untuk memuaskan nafsu jasad dan nafsu rohani mereka sahaja. Disebabkan ilmu yang diamalkan tidak menyeluruh dan sempurna, maka jasad mereka mulai berubah sehingga menjadi begitu..” panjang lebar penerangan Landak Adan.
“Oh begitu.. anehnya dunia luar” getus Mat Yong dalam hatinya. Barulah dia tahu akibatnya jika tidak mengamalkan amalan-amalan ibunya secara menyeluruh. Risau pula hatinya apabila mengenangkan keadaan dirinya yang kerap terlupa dan terlalai untuk mengamalkan amalan kependekaran warisan ibunya secara lengkap dan sempurna. Mungkinkah wajahnya atau keturunannya juga berubah wajah seperti mereka tersebut.  Itulah antara pengalaman yang tidak pernah akan dilupakannya.
Pernah sekali Mat Yong berada agak lama di sebuah Bandar yang dihiasi dengan wajah dan binaan bangunan yang cantik-cantik. Pndanglah ke sudut manapun semuanya dirasakan cantik akan rupa binaan dan perhiasan penduduk di sana. Namun rupanya tempat itu adalah seolah-olah berada dalam fatamorgana. Cantik dilihat,namun jika dilihat dengan lebih teliti dan dekat, rupanya segalanya kecantikan dan wajah itu palsu kebanyakannya. Bandar tersebut dikenali dengan Bandar Casanova. (bersambung…)

No comments: