Saturday, April 17, 2010

Ibu,Kau Di Sini Rupanya.... (Siri 11)


Kini telahpun genap 12 purnama semenjak langkahan pertama Mat Yong ketika meninggalkan kampung halamannya dahulu. Telah berbagai Bandar dan dugaan yang dilaluinya sepanjang perjalanan ini. Teringat pada permulaan langkahnya meninggalkan kampung Tualang 7 dahulu, dirasakan itulah Bandar yang paling mewah, paling luas dan syurga baginya. Mujurlah kedua-dua sahabatnya membantunya menunjukkan arah perjalanan untuk mencari ibunya kerana jika tidak pastinya Mat Yong akan mati bersama kesombongan dan kebodohannya tidak mengenali alam yang luas ini. Berjalan melihat keindahan dan kecantikan alam ciptaan Allah Yang Maha Indah dan Maha Lembut serta melihat kejelikkan manusia yang tunduk dan menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya .
Pernah beliau singgah di sebuah Bandar yang penduduknya tuli, matanya buta, mulut mereka bisu serta kaki dan tangan mereka lumpuh. Bandar itu dipenuhi dengan  limpahan  cahaya yang bergemerlapan dan penuh dengan kemewahan-kemewahan dunia fana.
Mereka menjadi tuli kerana telinga mereka mendengar hadis nabi dan ayat Al-Quran, namun mereka melekehkan dan menolaknya. Mereka buta kerana mereka melihat kemungkaran dan kemaksiatan di hadapan mata mereka, namun mereka tidak  mempedulikannya lantaran terlalu sibuk mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Manakala mulut mereka bisu kerana tidak menegur anak-anak mereka yang dibiarkan leka berkeliaran di pusat-pusat hiburan yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Mereka juga tidak menasihati Isteri-isteri mereka yang dibiarkan bergaul dan membuka perhiasannya kepada selain mahram mereka. Malahan mereka menjadi lumpuh kerana tidak menggunakan kaki dan tangan mereka untuk menghalang dan mencegah kezaliman serta ketidakadilan yang berlaku di Bandar mereka.
Penduduknya tidak ubah seperti haiwan-haiwan ternak yang berkeliaran mencari makan, tidur dan mengawan sahaja sepanjang kehidupan mereka. Hanya menanti masa urat leher mereka disembelih oleh Tuan mereka untuk menjadi hidangan perut yang kelaparan, dimasak, dibakar, direbus atau digoreng oleh limpahan api yang marak mengikut kehendak dan selera Tuan mereka sesuai dengan seleranya.
Mereka inilah orang yang tertipu dengan angan-angan kebodohan mereka, mengharapkan syurga dengan amal buruk dan kesombongan, menaburkan bibit tanaman yang buruk dan rosak,  di atas batas tanaman yang tidak  subur, dengan tidak disirami air, tidak diberi baja malahan tidak menghapuskan serangga yang merosakkan lalu mengharapkan hasil tuaian yang baik dan subur. 

Pernah juga Mat Yong singgah di sebuah bandar yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan dan perkara-perkara aneh. Antara yang menjadi perhatian baginya adalah seekor haiwan yang sangat aneh rupanya. Bahagian bawahnya saling tak ubah seperti kaki manusia, tegap dan gagah, manakala bahagian atasnya pula seperti kerbau dan bertanduk dua berkepanjangan 3 hasta, bengkok ke luar dan sedikit berpintal di hujungnya.  (Bersambung…..)

No comments: