Saturday, April 17, 2010

Ibu,Kau Di Sini Rupanya.... (Siri 11)


Kini telahpun genap 12 purnama semenjak langkahan pertama Mat Yong ketika meninggalkan kampung halamannya dahulu. Telah berbagai Bandar dan dugaan yang dilaluinya sepanjang perjalanan ini. Teringat pada permulaan langkahnya meninggalkan kampung Tualang 7 dahulu, dirasakan itulah Bandar yang paling mewah, paling luas dan syurga baginya. Mujurlah kedua-dua sahabatnya membantunya menunjukkan arah perjalanan untuk mencari ibunya kerana jika tidak pastinya Mat Yong akan mati bersama kesombongan dan kebodohannya tidak mengenali alam yang luas ini. Berjalan melihat keindahan dan kecantikan alam ciptaan Allah Yang Maha Indah dan Maha Lembut serta melihat kejelikkan manusia yang tunduk dan menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya .
Pernah beliau singgah di sebuah Bandar yang penduduknya tuli, matanya buta, mulut mereka bisu serta kaki dan tangan mereka lumpuh. Bandar itu dipenuhi dengan  limpahan  cahaya yang bergemerlapan dan penuh dengan kemewahan-kemewahan dunia fana.
Mereka menjadi tuli kerana telinga mereka mendengar hadis nabi dan ayat Al-Quran, namun mereka melekehkan dan menolaknya. Mereka buta kerana mereka melihat kemungkaran dan kemaksiatan di hadapan mata mereka, namun mereka tidak  mempedulikannya lantaran terlalu sibuk mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Manakala mulut mereka bisu kerana tidak menegur anak-anak mereka yang dibiarkan leka berkeliaran di pusat-pusat hiburan yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Mereka juga tidak menasihati Isteri-isteri mereka yang dibiarkan bergaul dan membuka perhiasannya kepada selain mahram mereka. Malahan mereka menjadi lumpuh kerana tidak menggunakan kaki dan tangan mereka untuk menghalang dan mencegah kezaliman serta ketidakadilan yang berlaku di Bandar mereka.
Penduduknya tidak ubah seperti haiwan-haiwan ternak yang berkeliaran mencari makan, tidur dan mengawan sahaja sepanjang kehidupan mereka. Hanya menanti masa urat leher mereka disembelih oleh Tuan mereka untuk menjadi hidangan perut yang kelaparan, dimasak, dibakar, direbus atau digoreng oleh limpahan api yang marak mengikut kehendak dan selera Tuan mereka sesuai dengan seleranya.
Mereka inilah orang yang tertipu dengan angan-angan kebodohan mereka, mengharapkan syurga dengan amal buruk dan kesombongan, menaburkan bibit tanaman yang buruk dan rosak,  di atas batas tanaman yang tidak  subur, dengan tidak disirami air, tidak diberi baja malahan tidak menghapuskan serangga yang merosakkan lalu mengharapkan hasil tuaian yang baik dan subur. 

Pernah juga Mat Yong singgah di sebuah bandar yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan dan perkara-perkara aneh. Antara yang menjadi perhatian baginya adalah seekor haiwan yang sangat aneh rupanya. Bahagian bawahnya saling tak ubah seperti kaki manusia, tegap dan gagah, manakala bahagian atasnya pula seperti kerbau dan bertanduk dua berkepanjangan 3 hasta, bengkok ke luar dan sedikit berpintal di hujungnya.  (Bersambung…..)

Tuesday, April 6, 2010

257000

Bila kita sebut 257,000 maka akan terbayang pada kita suatu jumlah yang banyak..
Cuba bayangkan jika anda memperoleh RM 257,000 di tangan anda. Wauu!!
Cuba Bayangkan jika anda berjaya mengumpul pengikut seramai 257,000 orang.

Pasti akan digeruni oleh manusia-manusia lain. Jika anda seorang pemimpin batalion tentera, maka tentera seramai itu mungkin membolehkan anda menawan sesebuah negara sekiranya dilengkapi senjata yang canggih dan strategi yang berkesan.
Itu contoh untuk menunjukkan banyaknya bilangan 257,000 tersebut.
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Maknanya itulah jumlah anak "halal" yang didaftarkan mengikut perlembagaan negara tidak termasuk bayi-bayi yang menjadi ratahan binatang-binatang liar dan serangga-serangga lapar yang terdapat sejak dulu, kini dan harap janganlah selamanya..

Baru-baru ini, di mesyuarat PIBG di sebuah sekolah, ketika ceramah keibubapaan, penceramah memberitahu bahawa di rumah anak yatim di Kuantan, seramai 11 orang dari 30 lebih jika tak silap yang menghidap HIV malahan ada di antara mereka yang langsung tidak pernah mengenali ibu bapa mereka malah sanak saudara mereka. Apalah dosa yang dilakukan oleh anak-anak ini sehingga mereka dipaksa melalui sebuah pengalaman hidup yang sangat jerih dan pahit.

Daripada Maimunah RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
لا تزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا فإذا فشا فيهم ولد الزنا فأوشك أن يعمهم الله بعذاب
“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri - 3/265: isnadnya hasan) - http://sawanih.blogspot.com/2010/01/akhir-zaman-dan-bahaya-zina-penzina.html 


Apakah punca yang menjadi duri dalam daging sehingga penyakit berzina ini membarah dalam masyarakat Islam kita pada hari ini? Kurangnya ilmu agama? kurangnya ulamak atau guru-guru agama? kurangnya kuliah agama sehingga mereka jahil mengenai agama? Atau kerana manusia belum sempurna imannya untuk percaya bahawa hukum Allah lah yang mampu untuk mengawalnya?