Si Anak : Kenapa ayah main judi? bukankah judi itu haram di sisi agama Islam? Kenapa tiada yang halang ayah berjudi?
Si Ayah : Anakku.. kau masih kecil dan belum mengerti. Judi yang ayah main ini adalah judi berlesen. Kita akan kena tangkap jika main judi yang tidak berlesen. Takkan kita nak tengok orang lain saja yang kaya?
Si Anak : ooOooooo......
Beberapa hari kemudian.
Si Ayah : Apa yang kamu makan tu? Bagi ayah sedikit.
Si Anak : Stik Babi ayah, jual kat depan tu tadi.
Si Ayah: Apa???!!!! Kau makan babi? babi tu HARAM di SISI ISLAM! Berdosa kau makan!
Si Anak : Kenapa pula ayah? Kat kedai tu takde pun tulis " STIK BABI HARAM DI SISI UMAT ISLAM". OoOoooOo, saya faham, mesti kerana orang yang jual STIK BABI ni takde lesen kot! Baiklah, lain kali saya akan beli di kedai yang ada lesen jual BABI.
Kebanyakan penduduk Bandar tersebut berwajah kerbau dan berbadan manusia. Ditanya oleh Mat Yong akan saudaranya Landak Adan akan mengapa mereka berkeadaan begitu. Nampaknya seperti normal, berkeadaan seperti biasa. Bercakap dalam bahasa manusia, makan seperti manusia lain, perlakuan juga seperti hamba Allah lain, namun aneh sungguh rupa mereka.
“Mereka asalnya adalah manusia biasa seperti kita juga. Namun mereka telah mengalami satu proses perubahan yang agak panjang sehinggakan wajah mereka berubah sama sekali” terang Landak Adan apabila diajukan soalan kepadanya.
“Proses perubahan yang bagaimana? Tak pernah pula ku lihat di kampung kita di Tualang Tujuh. Anehnya dunia luar…..” soal Mat Yong inginkan penjelasan.
“Mereka sebenarnya juga pernah belajar ilmu kependekaran dengan ibumu. Ada yang telah belajar sehingga ke peringkat yang agak tinggi. Mereka mengamalkan segala ilmu kependekaran dan amalan-amalan yang telah diperturunkan ibumu. Namun setelah masa menelan usia mereka, anak cucu mereka semakin kurang berminat dengan segala ilmu dan amalan kependekaran tersebut sehingga mereka hanya mengamalkan amalan-amalan yang dirasakan memberi keuntungan duniawi kepada mereka semata-mata. Mereka mengambil sekerat dan meninggalkan sekerat yang lain demi untuk memuaskan nafsu jasad dan nafsu rohani mereka sahaja. Disebabkan ilmu yang diamalkan tidak menyeluruh dan sempurna, maka jasad mereka mulai berubah sehingga menjadi begitu..” panjang lebar penerangan Landak Adan.
“Oh begitu.. anehnya dunia luar” getus Mat Yong dalam hatinya. Barulah dia tahu akibatnya jika tidak mengamalkan amalan-amalan ibunya secara menyeluruh. Risau pula hatinya apabila mengenangkan keadaan dirinya yang kerap terlupa dan terlalai untuk mengamalkan amalan kependekaran warisan ibunya secara lengkap dan sempurna. Mungkinkah wajahnya atau keturunannya juga berubah wajah seperti mereka tersebut. Itulah antara pengalaman yang tidak pernah akan dilupakannya.
Pernah sekali Mat Yong berada agak lama di sebuah Bandar yang dihiasi dengan wajah dan binaan bangunan yang cantik-cantik. Pndanglah ke sudut manapun semuanya dirasakan cantik akan rupa binaan dan perhiasan penduduk di sana. Namun rupanya tempat itu adalah seolah-olah berada dalam fatamorgana. Cantik dilihat,namun jika dilihat dengan lebih teliti dan dekat, rupanya segalanya kecantikan dan wajah itu palsu kebanyakannya. Bandar tersebut dikenali dengan Bandar Casanova. (bersambung…)
Kini telahpun genap 12 purnama semenjak langkahan pertama Mat Yong ketika meninggalkan kampung halamannya dahulu. Telah berbagai Bandar dan dugaan yang dilaluinya sepanjang perjalanan ini. Teringat pada permulaan langkahnya meninggalkan kampung Tualang 7 dahulu, dirasakan itulah Bandar yang paling mewah, paling luas dan syurga baginya. Mujurlah kedua-dua sahabatnya membantunya menunjukkan arah perjalanan untuk mencari ibunya kerana jika tidak pastinya Mat Yong akan mati bersama kesombongan dan kebodohannya tidak mengenali alam yang luas ini. Berjalan melihat keindahan dan kecantikan alam ciptaan Allah Yang Maha Indah dan Maha Lembut serta melihat kejelikkan manusia yang tunduk dan menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya .
Pernah beliau singgah di sebuah Bandar yang penduduknya tuli, matanya buta, mulut mereka bisu serta kaki dan tangan mereka lumpuh. Bandar itu dipenuhi dengan limpahan cahaya yang bergemerlapan dan penuh dengan kemewahan-kemewahan dunia fana.
Mereka menjadi tuli kerana telinga mereka mendengar hadis nabi dan ayat Al-Quran, namun mereka melekehkan dan menolaknya. Mereka buta kerana mereka melihat kemungkaran dan kemaksiatan di hadapan mata mereka, namun mereka tidak mempedulikannya lantaran terlalu sibuk mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Manakala mulut mereka bisu kerana tidak menegur anak-anak mereka yang dibiarkan leka berkeliaran di pusat-pusat hiburan yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Mereka juga tidak menasihati Isteri-isteri mereka yang dibiarkan bergaul dan membuka perhiasannya kepada selain mahram mereka. Malahan mereka menjadi lumpuh kerana tidak menggunakan kaki dan tangan mereka untuk menghalang dan mencegah kezaliman serta ketidakadilan yang berlaku di Bandar mereka.
Penduduknya tidak ubah seperti haiwan-haiwan ternak yang berkeliaran mencari makan, tidur dan mengawan sahaja sepanjang kehidupan mereka. Hanya menanti masa urat leher mereka disembelih oleh Tuan mereka untuk menjadi hidangan perut yang kelaparan, dimasak, dibakar, direbus atau digoreng oleh limpahan api yang marak mengikut kehendak dan selera Tuan mereka sesuai dengan seleranya.
Mereka inilah orang yang tertipu dengan angan-angan kebodohan mereka, mengharapkan syurga dengan amal buruk dan kesombongan, menaburkan bibit tanaman yang buruk dan rosak, di atas batas tanaman yang tidak subur, dengan tidak disirami air, tidak diberi baja malahan tidak menghapuskan serangga yang merosakkan lalu mengharapkan hasil tuaian yang baik dan subur.
Pernah juga Mat Yong singgah di sebuah bandar yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan dan perkara-perkara aneh. Antara yang menjadi perhatian baginya adalah seekor haiwan yang sangat aneh rupanya. Bahagian bawahnya saling tak ubah seperti kaki manusia, tegap dan gagah, manakala bahagian atasnya pula seperti kerbau dan bertanduk dua berkepanjangan 3 hasta, bengkok ke luar dan sedikit berpintal di hujungnya. (Bersambung…..)