Thursday, November 11, 2010

Ibu.Kau Di sini Rupanya... (Siri 13)

     
      Bandar ini penuh dengan kuntuman-kuntuman bunga berwarna warni dan wangian-wangian yang harum semerbak. Setiap benda yang disangka hina dan busuk menjadi mulia dan harum di Bandar ini. Ketika sedang lalu di sebuah taman bunga, Mat Yong terpandang dan terpegun akan sekuntum bunga hiasan yang terdapat di tamanr tersebut. Keadaan bunga itu  mengusik jiwa kependekarannya, sangat indah dipandang mata, semerbak haruman menusuk ke rongga hidung serta lembut dan licin bila disentuh. Tidak pernah dalam hidupnya melihat keindahan seperti bunga tersebut yang sangat mengasyikkan jiwanya. Daunnya emas, batangnya diperbuat dari ukiran perak dan kuntum bunganya diukir dari emas merah bertatahkan berlian.
      Sehingga terdetiklah dalam hatinya untuk memiliki dan membajai bunga tersebut. Mat Yong pun bertanya kepada tuan bunga sama ada bolehkah dia memiliki dan menyimpannya. Rupa-rupanya bukanlah Mat Yong seorang sahaja yang tertarik dengan bunga tersebut malah telah ramai musafir dan pedagang yang mengidamkannya. Lalu si tuan mengingatkan bahawa bunga itu bukanlah untuk dijual malah  sudahpun ada pemiliknya dan  si tuan menyatakan bahawa si pemiliknya akan mengambilnya setelah sampai masa yang telah ditentukan.
      Lalu Mat Yong masih tidak berpuas hati dan tetap ingin memiliki bunga tersebut kerana pada pandangannya bunga itu adalah sangat istimewa dan amat menarik hatinya untuk dimilikinya walau dengan apa cara sekalipun. Lalu didorong oleh perasaan haloba, maka ditawarkan kepada tuan tersebut dengan bayaran yang mahal, dengan janji manis untuk menjaga  dengan baik dan menyiram bunga tersebut dengan penuh kasih sayang, memeliharanya seperti menatang minyak yang penuh dan akan memastikan bunga itu sentiasa segar harumannya seperti selalu malah mengindahkan pasunya dengan hiasan yang lebih istimewa. Namun tuan kedai tetap menjawab sedemikian iaitu bunga tersebut telahpun ditentukan pemiliknya.
     Lantas Mat Yong dengan penuh kekecewaan melangkah pergi dari tempat tersebut. Sepanjang masa di Bandar tersebut Mat Yong tetap tidak dapat melelapkan matanya mengenangkan kecantikan bunga tersebut. Lalu Mat yong merintih keseorangan dan teringat akan ibunya lantas memikirkan sekiranya ada ibuku, pasti dia ada kesaktian bagi memastikan bunga idaman tersebut menjadi miliknya.
    Hampir setiap hari Mat Yong akan lalu di taman bunga tersebut dan memujanya dengan mantera-mantera dan rayuan-rayuan yang indah serta meluluhkan jiwa mendengarnya. Harapannya agar bunga tersebut akan menjadi miliknya sehinggakan beliau terlupa akan kata-kata tuan bunga tersebut bahawa bunga itu telahpun ada pemiliknya dan hanya menanti masa sahaja untuk diambil dan disimpan di dalam perhiasan pasu yang indah milik tuannya pada suatu hari nanti.
      Sehinggakan suatu hari Shahar bertemu dengan Mat Yong setelah berasa terlalu lama tidak mendengar berita Mat Yong dan memerhatikan Mat Yong bertingkahlaku dengan kelakuan yang agak pelik memuja sekuntum bunga di taman tersebut lalu bertanya; “ Apakah yang terjadi padamu? Kenapa langkahmu terhenti di sini wahai Mat Yong? Adakah kamu telah berjumpa dengan ibumu sehingga terlalu lama kamu singgah di Bandar ini?”
      Lalu dijawab “ Oh abang Shahar,lihatlah bunga ini, saya sangat terpikat dengan kilauan warna dan haruman bunga ini dan saya amat teringin untuk memilikinya,bolehkah abang membantu saya memilikinya?”
      “Sedarkah kamu bahawa telahpun tertulis di situ bahawa bunga itu sudah ada pemiliknya dan walau apa sekalipun yang kamu lakukan, bunga itu tetap akan diserahkan kepada pemiliknya” Balas Shahar dengan tenang. “Kamu kagum dengan kecantikan dan keindahan buatan bunga hiasan itu sehingga kamu singgah terlalu lama di Bandar ini, Sudah lupakah kamu akan tujuan asalmu dalam perjalanan ini? Bagaimana janjimu dulu untuk setia menyelusuri    laluan ini sehingga sampai pada ibumu? Jika kau inginkan bunga tersebut mengapa kau tidak berjumpa dengan perekanya agar boleh dibuatkan bunga yang cantik serupa itu juga atau lebih cantik dari itu?” Sambung Shahar sedikit keras. “Mungkin kau sudah lupa bahawa apa yang ada di Bandar ini semuanya palsu belaka dan kecantikan itu akan hilang dimamah usia, kilauannya akan pudar ditelan waktu serta mekarnya akan luluh dimakan masa. Sudahlah, kau teruskanlah pencarian ibumu sehingga kau bertemunya, marilah abang ajarkan kau suatu rahsia yang telah abang simpan sekian lama pada hari ini” sambung Shahar lagi.
Lalu mat Yong menunduk malu dan masih hatinya terdetik  menginginkan bunga hiasan tersebut walaupun tahu ianya palsu semata. Beliau kesal dengan dirinya yang terpikat dengan kecantikan Bandar tersebut walaupun pada mulanya dialah yang menghina penduduk di situ yang terpasung layu dengan keindahan Bandar Casanova itu. Lalu dengan nada perlahan ditanya “ Apakah rahsia tersebut wahai abang Shahar?”…… Bersambung......

5 comments:

fakir al banjari said...

Sambungannya setiap hari Isnin (Kata GJ suatu waktu dahulu)

Gelojak_Jiwa said...

hahaha! ingat lagi ye.. dulu masa idea turun mencurah-curah.. sekarang ikut dan je,bila ada idea terus taip dan postkan..

Oghang Ba Ado said...

eheh.. teruskan wahai sahabat ku.. hug..

Gelojak_Jiwa said...

terima kasih atas sokonganmu wak! hug hug! muahaha!

fakir al banjari said...

teruskan berhanyut