Monday, November 23, 2009

Ibu.. Kau di sini rupanya... (siri 3)


Semua mata tertumpu kepada Wak Izwil. Bulat mata Landak Adan menjegil kearah Wak Izwil. Wak Izwil memang dikenali suka membawa berita, pantang ada cerita semuanya ingin disebar. Ada orang kampung yang memanggilnya Wak Tempayan. Walaupun begitu, namun kata-katanya bukanlah kosong semuanya tapi berisi jua kadangkala. Cuma bagi orang kampung yang tidak mengenalinya memang tidak akan memahami maksud kata-katanya sekali-sekala.


Cuma kali ini memang Landak Adan agak marah dengan wak kerana telah menyebarkan mengenai perkara yang sepatutnya dirahsiakan. Namun Wak Izwil tetap dengan wajah selambanya dan tersengih-sengih ibarat kerang busuk sambil memandang sahabatnya, Mat Yong. Baginya tiada salahnya menceritakan mengenai kisah Ibu Mat yong walaupun memang diketahuinya menjadi rahsia umum.

Sekali lagi semuanya senyap. Sebenarnya kisah mengenai ibu Mat Yong memang menjadi satu rahsia bagi orang kampung Tualang Tujuh. Seboleh-bolehnya dirahsiakan perkara tersebut kerana boleh menimbulkan bencana. Tidak ramai yang mengetahui kisah sebenar ibu Mat Yong. Jika tahu sekalipun, kebanyakan dari mereka akan merahsiakan perkara tersebut. Mereka yang tahu pun kebanyakannya telah pun pergi menemui kerinduan mereka. Semua kebanyakannya telah kembali menghadap Allah S.W.T.

Jika orang yang pernah menemui ibu Mat Yong apatah lagi, seolah-olah dikunci terus mulut mereka, dikerat lidah pun belum tentu mereka akan ceritakan. Katanya itu adalah sumpah dan janji mereka bersama ibu Mat Yong agar tidak mendedahkan identitinya kerana dikhuatiri akan memudaratkan diri mereka sendiri. Kebanyakan yang kembali setelah berjumpa dengan ibu Mat Yong menjadi seolah-olah orang yang sasau. Aneh sekali perlakuan mereka dan kerapkali tidak difahami oleh penduduk kampung.

Namun mereka ini tidak pernah menyusahkan kehidupan orang lain, jika dilihat sifat mereka memang suka membantu. Malah mereka ini biasanya orang-orang yang hatinya sentiasa lekat di surau usang di Kampung Tualang 7 setiapkali azan berkumandang. Cuma sesekali sahaja perlakuan mereka yang sukar difahami malah ada yang memanggil mereka ini sudah gila.


Pernah ada seorang tua yang benar-benar mengenali ibu Mat Yong, beliau selalu membawa cerita-cerita mengenai ibu Mat Yong, , sifatnya, panggilannya dan sebagainya, namun beliaupun telah lama kembali ke pangkuan Allah Azzawajalla. Sahabat-sahabat yang rapat dengan orang itu tadi pun semuanya telah tiada lagi. Beliaulah satu-satunya orang yang dibenarkan oleh ibu Mat Yong untuk mendedahkan dirinya dan menjadi pemegang amanah pada masa itu,namun kini beliau sudah tiada lagi.

baiklah, mari kita pulang ke rumah aku dahulu, akan kuceritakan serba sedikit mengenai ibumu setakat yang dikhabarkan kepadaku. Bersabarlah, haripun sudah lewat petang,nanti akan kuceritakan kisahnya sebagai panduanmu untuk mencarinya nanti..” Shahar memberikan pandangannya dan semuanya terus bersetuju. Landak Adan langsung tidak berkata apa-apa, namun riak wajahnya dilihat seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Mat Yong juga terpaksa rela bersetuju dengan cadangan Shahar dan akhirnya semuanya terus membuntuti Shahar seolah-olah ada tali ghaib yang menarik mereka.

Memang semua maklum, Shahar tinggi ilmu kependekarannya. Hidup matinya hanyalah silat sahaja. Sebab itulah orang kampung melantiknya sebagai ketua kampung. Entah ilmu apa yang dipakainya, setiap kata-katanya jarang tidak diikuti. Malah Pak Azmi, gurunya juga mengiktiraf kehebatan ilmu anak murid kanannya itu. Hanya Poka sahaja yang mampu menegurnya, itupun bukan semua perkara. Pernah sekali Shahar mengamuk apabila ada orang luar yang cuba mencabar gelanggangnya, sampai terpatah dua pokok pinang yang tumbuh di gelanggang silat mereka. Sehingga kini masih ada kesan amukannya itu. Hampir sahaja pokok itu terkena Wak Izwil, nasib baik sempat ditepisnya dengan Gerak Lunan Selatannya yang pernah dipelajarinya dahulu.

Shahar bukanlah calang-calang orangnya. Beliau sebelum ini pernah berguru dengan Guru Andika dan Ngah Ghapur dalam perguruan Sendi Sakanya, malah kedua-dua guru ini juga adalah merupakan legenda dalam ilmu kependekaran di hulu Tanah Tualang 7 ini. (bersambung….)

1 comment:

Gelojak_Jiwa said...

Shahar tiada kaitan dengan orang yang sudah mati...