Monday, November 23, 2009

Semua Bala Dianggap Ringan Kecuali Putus Persahabatan


KETAHUILAH bahawa BUKAN tanda setia kepada kawan dengan menyetujui mengenai perkara yang menyalahi kebenaran Islam, bahkan wajib kamu tentang kebatilannya dan nasihatilah kerana Allah Taala, agar dia tidak meneruskan tindakannya yang bercanggah dengan agama. Sebahagian tanda ikhlas dan benar dalam bersahabat ialah amat gelisah hati, apabila tidak sehaluan dalam perkara yang boleh menyebabkan berbalah (mufaraqah) antara kedua pihak yang bersahabat.


Sempurna kesetiaan dalam persahabatan iaitu tunjukkan rasa dukacita sangat andainya terpaksa mufaraqah dengannya. Sedaya mungkin elakkan putus hubungan dengan sahabat.Seperti dinyatakan syair Arab yang bermaksud "Didapati segala bala yang menimpa pada sepanjang masa semuanya ringan untuk ditanggung kecuali apabila terpaksa putus hubungan dengan sahabat yang rapat". Dalam persahabatan sedaya mungkin elakkan daripada berlaku putus hubungan, kerana perkara itu amat berat ditanggung oleh orang yang menganggap amat penting persahabatan.


Seorang alim yang bergelar Ibnu Uyainah apabila membaca syair tersebut lalu berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai sahabat setia yang telah 30 tahun tidak bersua dengannya. Meskipun telah begitu lama, namun hasrat dan keluhannya belum hilang dari hatiku, jangankan tutur kata dan budi bahasanya yang manis dan indah makin sukar untuk dilupakan."


Sebagai tanda setia dengan sahabat, jangan cepat percaya acuman manusia perkara negatif terhadap sahabat itu, lebih baik jika bertanya secara langsung dengan dirinya sendiri untuk mendapat penjelasan bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk.


Begitu juga setengah daripada tanda setia kepada sahabat ialah elakkan daripada berkawan dengan musuh kepada sahabat kita itu, kerana perbalahan itu mesti mempunyai punca tertentu. Sedangkan Islam mengajar manusia agar bersahabat hanya dengan orang Soleh.Bagaimanapun wajar bertemu dengan seteru sahabat kita andainya berhasrat mencari jalan untuk mendamaikannya, sekiranya disetujui oleh sahabat kita itu. Jika tanpa persetujuan sahabat dikhuatiri akan melebarkan jurang permusuhan mereka berdua.


Imam Syafie r.a berkata: " Apa bila sahabatmu taat dan percaya pada kata-kata seterumu,beerti kedua-duanya berkongsi untuk bermusuh denganmu." Justeru itu dalam persahabatan hendaklah waspada terhadap anasir yang boleh meluaskan lagi medan permusuhan, andainya terjadi perkara yang negatif akan hancurlah nilai persahabatan yang dibina selama ini.


Adab dalam persahabatan seterusnya ialah perkara memandang ringan, usah mengada-ngada sehingga menyusahkan kawan-kawan. Elakkan daripada membuat sesuatu yang menyusahkkan mereka kerana persahabatan kita. Dianggap tidak bijak dalam melakukan sesuatu urusan dalam persahabatan yang terjalin,jangan bebankan sesuatu tugas yang musyaqqah buat dirinya. Mungkin kerja itu dilakukan kerana kesan pengaruh orang yang menyuruh itu adalah gurunya atau sahabat yang disegani.


Bahkan menjadi kewajipan apabila bersahabat sayugia melapangkan jiwanya, agar dia merasa segar bersahabat dengan kita. Orang rasa bahagia dan gembira bersahabat dengan kita, sama ada kerana kesantunan budi bahasa atau sumbangan harta benda kita. Biarlah seseorang itu lega jiwanya apabila bersahabat dengan kita. Jika sepanjang masa bersahabat saling tidak merasa tenang jiwa walau sekali, ertinya kita gagal dalam mengharungi persahabatan. Ini kerana tidak berjaya saling mendamaikan jiwa masing-masing.


Setiap orang jika berkawan baik murid dengan guru atau kawan sepejabat hendaknya orang merasa senang ketika kita ada bersama mereka, sebaliknya merasa pilu dan rawan dengan ketiadaan kita bersamanya. Jika suasana demikian wujud bererti persahabatannya berjaya. Oleh itu jangan sesekali kamu memberatkan orang atas nama persahabatan, seboleh-bolehnya manusia semuanya merasa senang dan gembira belaka dengan kehadiran kita. Saling bantu membantu atas jalan kebenaran serta taqwa dan tidak saling membantu atas kejahatan, seperti yang ditegaskan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2.


Erti kasih Allah SWT ialah minta tolong sahabat memperbaiki agama kita begitu jiga sebaliknya, saling ingat mengingati misalnya; hulurkan kain apabila masuknya waktu solat fardhu, terhadap kawan yang kurang ambil berat tentang mustahaknya solat pada awal waktu.


Usah dijadikan dalih tidak solat berjemaah di masjid atau musolla kerana tetamu datang ke rumah, sewajarnya beri tunjuk ajar kepada sahabat yang bertamu ke rumahnya dalam perkara yang mustahak, supaya dia mendapat manfaat daripada persahabatan dengan kita. Bersahabat selain hendak tumpang agama dan senang hati apabila berjumpa, juga untuk tumpang rapat (taqarrub) dengan Allah SWT, semoga tercapai hajatnya kerana dia seorang yang soleh dan bertaqwa.


Berkata sesetengah ulama: "Kalau meminta sesuatu yang tidak munasabah daripada sahabatnya, beerti dia telah menzalimi dirinya. Sesiapa yang tidak meminta sesuatu daripada sahabatnya, hakikatnya dia telah berbudi kepada sahabatnya.


Mauidzah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; HARAKAH 3 - 5 ZULHIJJAH 1430/ 20-22 NOVEMBER 2009 (Fikrah, F6)

1 comment:

Gelojak_Jiwa said...

Ramai orang yang bersahabat tetapi tak sanggup bersusah bersama-sama sahabatnya. Mereka hanya inginkan kesenangan dan kegembiraan bersama sahabat tetapi tidak sanggup menanggung susah bersama.

'The best way to be the best person is the best relationship with the best friends' -ibnu haron,2001-