Monday, November 30, 2009

Ibu,Kau di sini rupanya........(siri 4)


Selesai solat maghrib secara berjemaah, ketujuh-tujuh sahabat ini tadi duduk bersila menhadap satu sama lain. Semuanya saling berpandangan dan membisu seribu bahasa. Tiada siapa yang bersuara untuk memulakan bicara.  Tidak lama kemudian muncullah che ani, isteri kepada Shahar membawa minuman pemuas dahaga sejak siang tadi. Wak Izwil tanpa membuang masa terus sahaja minum air kopi tersebut diikuti oleh Mat Yong dan lain-lain. Lega rasa tekak Mat Yong dibasahi air kopi yang sedikit kelat tersebut.
Mat Yong, abg faham niat kamu itu baik dan murni, tetapi abang rasa tindakan kamu itu terlalu terburu-buru. Kamu membuat keputusan setelah mendengar cerita dari Wak Izwil, tanpa mengetahui kebenaran kata-katanya itu. Abang tidaklah menyatakan wak Izwil menipu kamu tetapi  Wak Izwil sendiri belum pernah menemui ibumu, lantaran bagaimana kamu memastikan kesahihan ceritanya? Kenapa tidak bertanya kepada kami, saudaramu yang lebih berpengalaman? Shahar memulakan bicaranya. “ Betul kata Shahar itu Mat Yong, jangan nanti menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Kita ini ibarat batu-bata untuk sebuah rumah, tiada satu tiadalah sempurnanya rumah itu.” Sambung Landak Adan pula.
jadi abang Shahar dan abang Landak kenal ke dengan ibuku itu?” soal Mat Yong bersemangat. “Mmm..nak kata kenal sangat tu idak le, tapi seperti yang abang kata tadi, setakat yang dikhabarkan kepada abang sahaja” jawab Shahar pula. “ ibumu itu adalah seorang yang sangat tinggi ilmunya, tiada tandingannya di kampung tualang tujuh ini sejak sekian lama. Dengar kisahnya ibumu jualah yang telah mengasaskan kampung ini bersendirian tanpa bantuan dari sesiapapun. Ramai yang ingin bertemu ibumu demi untuk mendapatkan ilmunya yang tiada tandingan itu. Ibumu jualah yang telah mengasaskan perguruan silat belangkas kita ini yang dulunya dikenali dengan perguruan seni berperang pada asalnya. Namun tidak ramai yang dapat bertemu dengan ibumu malah dengar katanya terlalu ramai yang terkorban di dalam perjalanan mereka. Sebab itu perkara ini seboleh-bolehnya dirahsiakan kerana khuatir menjadi bencana kepada kampung kita ini.” Sambung Shahar lagi.
Benar kata-kata Shahar itu, abang juga pernah mendengar di surau bahawa ibumu juga adalah seorang yang pemalu, namun gembira sekiranya ada orang yang berjaya menemuinya. Namun kebanyakan mereka yang telah menemui ibumu semuanya telah mengunci bibir mereka rapat-rapat. Katanya itu adalah sumpah setia antara mereka dengan ibumu itu. Khabarnya ada seorang sahaja yang dibenarkan oleh ibumu supaya menyampaikan amanatnya namun abang pun tidak pernah berjumpa dengannya. Ibumu juga selalu bersembunyi dan amat jarang memunculkan dirinya. Ibumu mempunyai ilmu   pelimun dan perabun, malah ilmu bisik semar, semua yang kau fikir, kau perbuat, niatmu ikhlas atau tidak, semuanya diketahuinya sebelum sempat kau berjumpanya. Sebab itulah amat sedikit orang yang boleh bertemunya. Pendek kata kalau niat tak baik, memang jangan haraplah”. Landak Adan meneruskan kata-kata Shahar.

No comments: